RAMAI pelakon cuba nasib jadi penyanyi.
RAMAI pelakon cuba nasib jadi penyanyi.
Najiy Jefri

Evolusi muzik kini semakin meriah dengan kehadiran pelakon yang menjadi penyanyi. Biarpun kebanyakan pelakon tidak mempunyai asas ilmu nyanyian, tetapi mereka tetap yakin mencuba nasib dalam bidang ini.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Apatah lagi berbekalkan populariti yang dimiliki menerusi drama yang dibintangi mampu memperkenalkan nama mereka dalam industri seni muzik tempatan.

Barangkali inilah senario yang berlaku dalam industri seni hiburan apabila ramai pelakon menjadi penyanyi. Meski segelintir pelakon bakatnya nyanyiannya entah ke mana, tetapi disebabkan yakin kehadirannya mampu menarik perhatian mereka nekad mengeluarkan lagu.

Sehinggakan ada pihak yang mempersoalkan kehadiran mereka ini seolah-olah membunuh kerjaya penyanyi berbakat dan sudah tibanya untuk bersara.

BLING! menemu bual enam nama besar dalam industri seni tanah air mengenai perubahan muzik kini yang menyaksikan kehadiran pelakon menjadi penyanyi.

Amyra Rosli

“Kehadiran ramai pelakon menjadi penyanyi kini sebenarnya adalah perkara normal dan bukan satu isu besar. Sebenarnya evolusi ini sudah lama wujud seperti pelakon legenda Tan Sri P.Ramlee yang juga turut berbuat demikian.

“Sebagai anak seni, saya melihat cabang industri seni ini sangat luas, kita boleh mencuba nasib dalam pelbagai bidang asalkan serius dan komited dalam setiap yang dilakukan.

“Lagipun kalau tidak mencuba, kita tidak tahu apakah nasib kita pada masa mendatang. Malah keputusan saya mengeluarkan single baru bersama suami, Amar Baharin adalah permintaan daripada peminat. Jadi saya harus tunaikan dan berusaha keras dengan menyakinkan kepada mereka bahawa saya mampu menyanyi dengan baik.

“Bagi mereka yang mempersoalkan adakah saya mampu menyanyi dengan baik atau tidak saya tidak ambil pusing asalkan apa yang saya buat ini adalah rezeki yang halal,” katanya.

Datuk Siti Nurhaliza

“Dalam setiap bidang yang kita ceburi asas utama yang perlu ada adalah bakat, minat dan keinginan untuk belajar.

“Tidak dinafikan sejak kebelakangan ini saya lihat ramai dalam kalangan pelakon kini yang menjadi penyanyi sebagai satu cabang karier seni mereka.

“Tidak salah untuk mereka mencuba asalkan tidak berputus asa untuk terus memartabatkan industri muzik tanah air dan membawa muzik Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Saya percaya bakat, persembahan nyanyian atau lakonan yang mantap serta hubungan baik di antara semua pihak adalah kunci kejayaan seseorang individu itu.

“Saya tidak melihat kehadiran pelakon menjadi penyanyi ini sebagai mengugat atau sebagainya tetapi apa yang positif dari setiap individu itu, saya hargai dan menyokong penuh usaha mereka.

“Sementara itu, sesetengah pihak yang mengatakan penyanyi berbakat boleh ‘bersara’ hanyalah sekadar usikan kerana realitinya artis legenda seperti Amy Search dan Ziana Zain masih tetap diterima dan popular,” katanya.

Ayda Jebat

“Rezeki Allah tiada siapa yang boleh menduga. Barangkali mungkin itulah jalan yang Tuhan aturkan kepada sesetengah pelakon kini yang menjadi penyanyi.

“Sama juga seperti saya yang memulakan kerjaya sebagai penyanyi tetapi mencuba nasib dalam bidang lakonan. Alhamdulillah tak sangka kehadiran saya mula disedari khalayak selepas mengintai peluang dalam lakonan.

“Sebenarnya rezeki Allah itu cukup luas. Jangan kita menghadkan bakat yang dimiliki, sebaliknya terus mencuba segala cadang dalam bidang seni sebagai peluang untuk terus kekal dan menonjolkan kebolehan.

“Bagaimanapun apabila seseorang pelakon nekad untuk menceburi bidang nyanyian, dia perlu betul-betul fokus dan ambil tahu setiap hal berkaitan muzik sekiranya mahu digelar penyanyi sebenar. Bukannya ambil mudah dan fikir sekadar nak ‘kaut’ royalti ataupun bikin lagu untuk halwa telinga pendengar tetapi tidak berkualiti.

“Bagi saya, peminat dan pendengar sekarang sudah bijak menilai lagu dan muzik yang mantap atau sebaliknya.

“Saya tidak berasa kehadiran pelakon menjadi penyanyi akan ‘membunuh’ kerjaya penyanyi berbakat apabila mereka memiliki kelompok peminat yang lebih besar menerusi kejayaan drama yang dilakonkan, sebaliknya anggaplah ia sebagai satu cabaran untuk memajukan diri dan mengumpul peminat.

“Pada pendapat saya penyanyi juga perlu mengumpul dan menjaga hubungan baik dengan peminat dan media. Kadang-kadang ada penyanyi yang buat lagu hingga menjadi hit di radio tetapi namanya tidak dikenali.

“Jadi saya menyeru kepada penyanyi baru untuk berusaha keras dan mengumpul peminat dengan mengenalkan muzik yang dibawakan.

“Jangan sesekali wujud perasaan dengki atau iri dengan kejayaan orang lain. percayalah Masing-masing ada rezeki dan jalan yang diaturkan. Jika rasa anda hebat anda tidak boleh perlekehkan orang,” katanya.

Edry Abdul Halim

“Pada zaman moden ini, YouTube dan segala platform media sosial memainkan pengaruh yang besar dalam menyalurkan bakat seseorang itu. Tidak salah untuk seorang pelakon mencuba nasib asalkan ia diterima baik peminat mereka.

“Tetapi jika mahu menjadikan kerjaya ini sebagai satu profesion yang serius mereka perlu ambil latihan dan sentiasa perbaiki mutu persembahan kerana penyanyi yang baik juga sentiasa meningkatkan skil nyanyian mereka ketika menyanyi di hadapan audien.

“Meskipun pelakon mempunyai populariti yang besar tetapi yang membezakan penyanyi dan pelakon adalah kualiti yang ada dalam diri mereka. Jangan anggap kehadiran pelakon akan ‘mengancam’ industri seni muzik kerana pendengar kini bijak menilai.

“Penyanyi yang berkualiti tetap bertahan meski usia mereka meningkat. Jadi kepada pelakon dan penyanyi baru ambil inisiatif untuk membina kualiti dan perbaiki mutu persembahan dengan lebih baik.

“Saya tidak mahu menilai kemampuan nyanyian pelakon kini kerana dulu untuk menjadi penyanyi perlukan syarikat rakaman untuk mebuat pelaburan. Tetapi kini sesiapa saja boleh jadi penyanyi. Justeru gunakan populariti yang ada ini dengan sebaik mungkin dan biar orang hargai hasil kerja kita.

“Saya tidak boleh sekat mereka untuk terus menyanyi kerana setiap orang ada hak untuk mencuba cabang baru.

“Bagaimanapun apa yang boleh saya tekankan menyanyi di bilik air tidak sama seperti menyanyi di hadapan awam. Perlu ada rasa tanggungjawab kepada peminat untuk mempamerkan persembahan yang terbaik,” katanya.

Siti Elizad

“Cabang industri seni ini luas dan tidak salah untuk seorang pelakon menjadi penyanyi sebagai punca pendapatan mereka. Apabila ditawarkan untuk mengeluarkan lagu saya tidak menunggu lama untuk memberi keputusan kerana ini salah satu cara melebarkan sayap sebagai anak seni.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah ‘target’ untuk menjadi penyanyi sebaris penyanyi ternama sedia ada. Saya sedar kemampuan diri dan sebagai pelakon saya percaya dengan adanya single boleh digunakan untuk runut bunyi drama lakonan yang dibintangi.

“Lagipun, saya lihat apabila ada single baru ia merapatkan lagi hubungan saya dengan peminat.

“Bagi penyanyi janganlah rasa kehadiran pelakon menjadi penyanyi akan melenyapkan kerjaya kerjaya mereka kerana mereka tiada niat untuk berlawan biarpun barangkali lagu mereka lebih menjadi siulan berbanding penyanyi.

“Ini adalah disebabkan lagu mereka digunakan sebagai OST drama sehingga menjadi siulan ramai berbanding penyanyi yang perlu menunggu giliran untuk diputarkan di radio,” katanya yang baru mengeluarkan single baru berjudul Haiyaya.

Waris

“Sebenarnya trend pelakon menjadi penyanyi ini bermula sejak tahun lalu lagi memandangkan karier ini boleh mendatangkan duit tambahan kepada mereka menerusi duit royalti hasil lagu yang dibuat.

“Kerjaya ini juga bole dianggap kerjaya tambahan untuk memastikan nama mereka kekal utuh dan tidak mengharapkan tawaran lakonan saja.

“Bagaimanapun, jujur saya katakan kebanyakan pelakon yang menjadi penyanyi tidak boleh menyanyi dengan baik. Begitu juga dengan rakan gandingan duet saya iaitu Nora Danish. Di sedar kemampuan dirinya dan tidak mahu menyanyi tetapi berminat untuk buat lagu.

“Selepas memahami maksudnya itu, saya mula faham dan turunkan ilmu rap kepadanya dan saya yang menyanyi menerusi lagu baru kami iaitu Ini Lagi Boom.

“Malah ada sesetengah pelakon yang main ‘bantai’ saja asalkan ada lagu baru yang diketengahkan. Saya harap mereka gunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin.

“Untuk menjadi penyanyi yang mantap, seseorang itu perlu tahu kemampuan vokal yang ada pada dirinya, mencari identiti serta jangan berangan tidak kena tempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 10:24 AM