ARIANA Grande milik Dalton Gomez.
ARIANA Grande milik Dalton Gomez.
Agensi

PENYANYI, Ariana Grande disahkan sudah berkahwin secara rahsia dengan pasangannya dikenali, Dalton Gomez pada hujung minggu lalu.

Sumber terdekat penyanyi itu memberitahu media antarabangsa, majlis perkahwinan itu dihadiri kurang daripada 20 tetamu dan berlangsung dengan penuh kasih sayang.

"Ruang majlis itu berlangsung dipenuhi dengan rasa bahagia dan kasih sayang. Pasangan itu serta keluarga kedua-dua belah pihak, turut berkongsi rasa bahagia mereka.

"Ia berlangsung dalam skala yang sangat kecil dan hanya dihadiri oleh orang-orang terdekat mereka sahaja," katanya.

Menurut sumber itu lagi, Ariana dan suaminya, Gomez yang juga ejen hartanah banyak menghabiskan masa bersama.

"Mereka sangat cintakan satu sama lain dan banyak menghabiskan masa bersama. Dia (Gomez) benar-benar memanjakannya dan buat dia rasa gembira.

"Bukan sahaja Ariana, bahkan, keluarga serta rakan-rakan juga sukakannya," katanya.

Berita mengenai percintaan Ariana dan Gomez mula menjadi bualan pada Februari tahun lalu, selepas penyanyi lagu 7 Rings itu berpisah dengan bekas kekasihnya, Mikey Foster.

Sebulan selepas itu, Ariana mula berkongsi kebahagiaannya dengan Gomez di Instagram.

Pada Mei tahun lalu, Ariana dan Gomez lebih terbuka mengenai kisah cinta mereka apabila kedua-duanya muncul dalam video muzik lagu duet Ariana bersama Justin Bieber, Stuck With U.

Mereka kemudiannya mengikat pertunangan pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 8:41 AM