ZAHIRIL Adzim.
ZAHIRIL Adzim.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Zahiril Adzim, 37, berpendapat masing-masing ada cara tersendiri untuk menunjukkan rasa ambil berat nasib rakyat Palestin tanpa perlu buat hantaran di media sosial.

Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, orang ramai tidak patut menyindir dan menganggap seseorang tidak ambil peduli hanya kerana tidak berkongsi mengenainya.

"Kalau orang itu tak kongsi apa-apa mengenai isu Palestin di platform media sosial dia, tak bererti dia tak kisah dan tak peduli.

"Tak payah kamu marah, kecam atau menganjing (menyindir). Jangan acah-acah. Relaks. Tenang.

"Masing-masing ada cara tersendiri. Mungkin dia pulun (berhabisan) dengan doa atau dia belanjakan wang ringgit dia untuk sumbangan secara diam," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram Stroy, pelakon filem Bunohan itu sebaliknya menyarankan semua terus bersatu dan bukannya memperbesar isu remeh sebegitu. 

"Bukan semua orang menghadap media sosial 24 jam macam kamu. Ini waktu umat Islam bersatu. Tak perlu bangkitkan isu remeh-temeh macam ni untuk berpecah-belah.

"Serius dik, jangan jadi Melayu bodoh waktu-waktu macam ini. Kita sama-sama berjuang cara kita okay? 'Peace'," katanya.

Sejak minggu lalu, golongan artis terus berkongsi mengenai isu menyayat hati yang berlaku di Palestin. Rata-rata turut mengutuk tindakan keganasan yang melanda negara itu akibat serangan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 1:48 PM