Sudirman Mohd Tahir


SIRI Scammer yang ditayangkan di saluran Astro Ria tahun lalu menarik perhatian penonton untuk mengikuti drama arahan Norhanisham Muhammad hingga ke penghujung episod.

Sambutan terhadap siri itu membuatkan penerbit, Radius One Sdn Bhd menerbitkan Scammer 2 yang mula ditayangkan pada 18 April lalu.

Jika Scammer musim pertama menampilkan Kamal Adli, Siti Saleha dan Fasha Sandha, bagi siri kedua ini ia menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Zahiril Adzim dan Farah Nabilah.

Beto yang melakonkan watak Taqriz berkata, tawaran diterima dianggap sebagai cabaran dan tanggungjawab buat dirinya apatah lagi perlu memainkan tiga watak.

"Setiap kali saya terima atau setuju untuk sesuatu projek, saya anggap sebagai satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan untuk ini saya tak anggap ia cabaran tapi tanggungjawab pada watak.

" Untuk drama kali ini saya diberi watak memainkan tiga watak sekali gus. Watak asal iaitu Taqriz, watak dalam misi iaitu watak Takim dan Taufiq. Tuntutan dari situ , emosi dan fizikal agak berat namun itu satu keseronokan buat saya.

"Itulah antara tuntutan yang paling tinggi iaitu emosi dan fizikal. Ada banyak babak aksi bergaduh. Emosi juga berat dan macam-macam lagi," katanya.

Menurut Beto, melakonkan tiga watak sekali gus sesuatu yang menarik kerana disokong dengan jalan cerita yang bagus.

"Melakonkan tiga watak agak menarik. Untuk musim kali ini, perjalanan cerita tidak terlalu 'linear'.

BETO melakonkan tiga watak dalam Scammer 2.
BETO melakonkan tiga watak dalam Scammer 2.

Scammer 2 mencuba pendekatan 'non-linear'. Turutannya tidak seperti A, B, C, D tetapi lebih kepada A pergi H pergi B terus ke M, ia melompat-lompat. Ia menarik kerana kalau kita mengikuti dari awal dan tak terlepas satu episod pun, maka akan boleh faham. Tetapi kalau kita terlepas, akan berasa 'lost' sebab pendekatan 'non-linear'.

"Dari segi watak, agak menarik dengan watak Taqriz kerana ia konflik, dilema, tekad dan nekadnya. Kesemua itu dirungkai dengan baik dari sudut skrip dan lakon layar dan ada babak diubah mengikut kesesuaian.

"Agak menarik apabila seorang lelaki yang ingin tuntut bela, tekad dengan niat dia namun apabila konflik berlaku dalam diri dan dalam menjalankan misi, terus dia rasa dilema. Dilema datang bila Taqriz kehilangan orang sekeliling dia," katanya.

Dalam masa sama, Beto tidak berasa tertekan jika ada sebarang cubaan membandingkan siri Scammer pertama dengan kedua.

"Semua sedia maklum bila kita buat siri bermusim, pastinya orang akan membandingkan musim pertama, kedua, ketiga dan sebelumnya. Untuk Scammer 2, saya yakin orang akan membanding dengan musim pertama.

BETO tidak tertekan jika ada membandingkan siri Scammer 1 dan 2.
BETO tidak tertekan jika ada membandingkan siri Scammer 1 dan 2.

"Saya tidak letak atau berasa tekanan sebab musim kedua ini masih dalam garis masa yang sama tetapi dari sudut kesinambungan tidak bersambung dari musim pertama. Ia berbeza cerita," katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Zahiril, Beto berkata, mereka sudah saling memahami cara dan pembawaan masing-masing di skrin.

"Cukup senang dapat berlakon kembali dengan Zahiril. Di luar kami memang sahabat dan ini bukan kali pertama bekerjasama. Masing-masing sudah tahu permainan masing-masing. Kita buang saja tenaga dan lihat macam mana dan tengok nak sambut macam mana.

"Dia pun pelakon yang baik, bagus dan profesional. Dia tahu nak main macam mana. Apabila masuk lokasi, kita cuba buat latihan dan ter

us 'lock' begitu. Pendek kata, memang tidak ada masalah dari sudut keserasian," katanya.

Selain itu, Beto juga memuji sikap pengarah, Norhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu dalam kalangan penggiat seni.

"Saya seronok bekerja dengan dia lebih kepada kolaborasi bersama. Dia sebagai seorang pengarah, tidak ada masalah bertanyakan pendapat pelakon dia. Saya akan bertanya macam mana watak Taqriz. Kalau ada kekeliruan sikit dan dia akan tanya pendapat pelakon dia. Kita lebih kepada kolaborasi bersama. Cukup seronok. Dia pengarah yang sangat 'cool' dan bijak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:30 AM