NICKI Minaj.
NICKI Minaj.
Agensi

Los Angeles: Penyanyi Nicki Minaj, 38, mengakui kesihatan mentalnya kini lebih baik selepas memutuskan untuk berehat daripada industri muzik sejak tiga tahun lalu.

Menurut Minaj pemikirannya sekarang jauh lebih waras apalagi selepas melahirkan anak lelaki pada September tahun lalu. 

Minaj mengakui saat meluangkan masa bersama anaknya itu memberikan satu perasaan yang indah. Sekali gus mengubat kesedihan terdahulu sewaktu kehilangan bapanya pada Februari lalu.

Dia juga mengakui pemergian bapanya antara perkara paling meremukkan hatinya. Bapanya menjadi mangsa langgar lari dan awal bulan ini, barulah Minaj dapat kekuatan bercerita mengenainya.

Kali terakhir dia tampil dengan album adalah pada 2018 menerusi Queen. Selepas itu, Minaj kemudian mengumumkan untuk berehat panjang daripada menghasilkan lagu atau album.

Berkongsi mengenai muzik baharu akan datang, dia belum terfikir untuk menulis karya baharu. 

"Saya sangat berterima kasih atas kesabaran anda semua. Tapi, sekarang saya memerlukan lebih masa untuk meluangkan masa bersama anak saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 11:30 AM