Petaling Jaya: Primeworks Studios dan Disney + Hotstar memeterai perjanjian membolehkan penonton negara ini menikmati tontonan lebih 500 jam untuk filem dan drama termasuk tayangan perdana filem blockbuster serta drama hebat di Disney+ Hotstar bermula 1 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, sebagai penyedia kandungan terbesar di Malaysia untuk Disney + Hotstar, ia menjadi satu penanda aras yang sangat membanggakan buat Primeworks Studios di mana dapat menayangkan kandungan terbaik yang berkualiti tinggi oleh penggiat seni tanah air di Disney+ Hotstar.

"Ia juga dapat merapatkan jurang sempadan anak seni tempatan sekali gus membawa karya dan bakat kreatif mereka di persada antarabangsa," katanya.

Antara filem dan drama yang bakal ditayangkan ialah J2: J Retribusi, WiFi Di Sebelah Rumah, Semanis Senyumanmu, Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr Bodyguard.

Khairul Anwar berkata, kerjasama itu sejajar dengan strategi Primeworks Studios untuk bekerjasama dengan pemain-pemain utama dalam menyediakan kandungan terus kepada pelanggan.

"Secara tidak langsung ini meluaskan lagi capaian digital dan membawa lebih banyak kandungan Malaysia dan Asia ke peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kandungan & Kreatif, Disney+, Asia Tenggara, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, adalah suatu keistimewaan dapat bekerjasama dengan Primeworks Studios dalam membawa cerita Malaysia ke hadapan dan memberi tumpuan kepada pembuat filem tempatan serta bakat tempatan.

"Kami akan terus memastikan perkembangan komuniti kreatif Malaysia dan menantikan kerjasama seterusnya bersama Primeworks Studios untuk menjadikan Disney + Hotstar sebagai tempat mengumpul filem-filem eksklusif dan program yang dinantikan serta menjadi tempat arkib kepada pelbagai kandungan," katanya.

Perkhidmatan strim Disney+ Hotstar boleh dilanggan dengan harga RM 54.90 selama tiga bulan dan penonton boleh menikmati lebih dari 800 filem dan 18,000 episod merangkumi filem dan drama bersiri premium dari Primeworks Studios.

Ini termasuk dari kandungan jenama hiburan ikonik Disney seperti Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi.

Penonton boleh melanggan Disney + Hotstar dari laman web disneyplushotstar.my atau dengan memuat turun aplikasi Disney + Hotstar pada peranti Android dan iOS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:55 PM