Aina Abdul (kiri), Alena Murang.
Aina Abdul (kiri), Alena Murang.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bersempena dengan pelancaran penstriman digital Disney+ Hotstar esok, dua penyanyi tanah air Aina Abdul dan Alena Murang menghiburkan peminat dengan seleksi lagu-lagu Disney popular.

Menerusi siaran langsung di Facebook Disney+ Hotstar Malaysia, Aina mempersembahkan dua buah lagu popular dari jenama hiburan ikonik Disney iaitu Let it Go (Frozen) dan Speechless (Aladdin).

Manakala, Alena Murang pula menghiburkan peminat menerusi lagu Reflection dari Mulan dan How Far I'll Go dari Moana dengan diiringi alat muzik tradisional Sape.

Aina berkata, kedua-dua lagu yang dipersembahkan adalah pilihan peribadinya kerana menyukai dua filem itu.

"Kedua-dua lagu ini mempunyai nilai sentimental kepada diri saya. Filem Frozen dan Aladdin ini banyak mengajar saya mengenai kehidupan.

"Lagu Let It Go ini mengingatkan saya mengenai beberapa babak menarik yang ada di dalam filem itu serta gaun biru yang digayakan Elsa.

"Bagi lagu Speechless pula, saya kagum dengan semangat yang dimiliki Aladdin yang tidak pernah berputus asa. Malah, jalan cerita filemnya juga cukup menarik," katanya.

Menurut Aina, meskipun dia berseorangan menyanyikan lagu terbabit namun, dia dapat merasai semangat penonton yang sedang menyaksikan sesi 'live' itu. 

"Saya dapat rasa energi kalian walaupun saya berseorangan ketika ini.

"Saya juga ingin mengajak anda semua untuk sama-sama melanggan Disney+ Hotstar dan menyaksikan filem Disney kegemaran anda.

"Saya mempunyai banyak filem kegemaran Disney seperti Aladdin, Cinderella, Beauty and the Beast, Coco dan Inside Out," katanya.

Disney+ Hotstar akan dilancarkan di Malaysia bermula esok dengan membawa lebih daripada 800 filem dan 18,000 episod.

Perkhidmatan strim Disney+ Hotstar boleh dilanggan dengan harga RM 54.90 selama tiga bulan dan penonton boleh menikmati pelbagai variasi filem dan drama berepisod merangkumi filem 'blockbuster' dan 'siri premium' dari Primeworks Studios (PWS).

Ini termasuk dari kandungan jenama hiburan ikonik Disney seperti Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi.

Penonton boleh melanggan Disney + Hotstar dari laman web disneyplushotstar.my atau dengan memuat turun aplikasi Disney + Hotstar pada peranti Android dan iOS.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 9:30 PM