Wan Razmie (depan).
Wan Razmie (depan).
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Hujan lebat beserta ribut petir yang kuat di Lembah Kelang semalam, mengembalikan ingatan abang kepada pemain gitar profesional, Allahyarham Eddy Wan Othman iaitu Wan Razmie Wan Othman terhadap arwah adiknya itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Wan Razmie bercerita pengalaman mereka bertiga termasuk seorang lagi adiknya, Allahyarham Wan Zunira ketika berdepan situasi berkenaan.

"Allah, Allah, semalam hujan lebat sangat bercampur petir di Batu 11. Siap hujan batu lagi.

"Teringat dulu waktu kecil, Zura penakut, Eddy yang selalu akan temankan. Aku pula suka jerit marah korang (kamu) berdua, kenapa nak takut-takut, sedangkan dalam hati, aku la sebenarnya orang yang paling takut dengan kilat.

"Cuma aku tak nak tunjuk lemah, sebab mak kerja pagi balik malam. Kalau aku takut, tentu korang (kamu) pun lagi bertambah takut," tulisnya.

Wan Razmie yang mengakui rindu pada kedua-dua arwah adiknya itu dan merasa kekosongan, turut mendoakan kesejahteraan mereka yang kini berada di alam abadi.

Allahyarham Eddy dan Zunira.
Allahyarham Eddy dan Zunira.

"Ya Allah, kalaulah ada pahala atas mana-mana kebaikan yang aku lakukan, aku sedekahkan semuanya pada mereka berdua.

"Jika ada dosa mereka, ampunkanlah mereka ya Allah. Kalau dekat dunia pun, kilat Kau pun kami takut, maka azab Kau di dalam kubur jauh lebih dahsyat dari itu.

"Oleh itu, aku mohon janganlah Kau azab ke dua adindaku. Kasihanilah mereka, amin. Sayang sangat korang (kamu) berdua," tulisnya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Wan Radzie Wan Othman atau nama panggilannya Eddy Malmsteen dan kakaknya Wan Zunira meninggal dunia serentak dalam peristiwa tragis akibat terkena renjatan elektrik berpunca daripada alat pemanas air sekitar jam 11 malam, pada 22 Ogos tahun lalu.

Mereka ditemui terbaring dalam bilik air di sebuah rumah dekat Batu 11, Jalan Lama Gombak. Turut ditemui, seorang kanak-kanak lelaki iaitu anak Wan Zunira berada dalam keadaan lemah, di rumah itu.

Ketika hayatnya, Eddy kerap mengiringi persembahan artis-artis popular antaranya Datuk Hattan, Joey BPR dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:06 PM