Foto keluarga, Wan Razmie (kanan sekali)
Foto keluarga, Wan Razmie (kanan sekali)
Ridzuan Abdul Rahman


"MULANYA saya nak rahsiakan berita ini dari emak, tapi sampai masanya jenazah dua adik saya 

nak dikebumikan, macam tak kena pula kalau tak beritahu dia," kata Wan Razmie Wan Othman, abang kepada pemain gitar profesional, Allahyarham Wan Radzie serta Allahyarham Wan Zunira yang meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air, Sabtu lalu.

Kejadian pada 10 malam itu berlaku apabila Wan Radzie, 30, atau lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen mahu membantu kakaknya, Wan Zunira, 32, yang terkena renjatan elektrik ketika memandikan anak kelimanya, berusia tiga tahun. 

"Emak, Mazidah Shamsuddin, 56, dimasukkan ke Hospital Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Gombak sejak tiga hari lalu kerana mengadu sakit dada tapi bukanlah kerana sakit jantung. 

"Saya pergi hospital untuk terangkan perkara sebenar. Saya tengok keadaan emak terlebih dahulu dan berbual macam biasa.

"Setengah jam selepas itu, barulah saya jelaskan hal sebenar. Mulanya emak ingat saya main-main. Selepas itu emak menangis kerana kami hanya tiga beradik. Namun mak akhirnya reda," katanya kepada Harian Metro.

 Terdahulu pada pagi semalam, Wan Razmie menerusi Facebooknya menulis terpaksa merahsiakan berita ini daripada ibu mereka yang berada di hospital atas faktor kesihatan serta selepas mendapat nasihat dari doktor.

  Dia juga memberitahu adik ipar (suami Zunira), yang sepatutnya menjalani pembedahan di Hospital Seremban pada hari ini (Isnin) terpaksa menunda pembedahan dan bergegas pulang ke Gombak untuk menguruskan jenazah isterinya. 

   "Dia perlu dimasukkan besi di bahagian tulang belikat akibat terjatuh dari tingkat satu ketika bekerja minggu lalu," katanya. 

 Wan Razmie yang juga pengasas Darul Ilmi Malaysia di Gombak menyifatkan segala yang terjadi sebagai ketentuan takdir.

Foto Allahyarham Zunira bersama suami dan lima anak mereka.
Foto Allahyarham Zunira bersama suami dan lima anak mereka.

   "Memang tak pernah berlaku masalah kebocoran. Suami arwah Zunira yang buat pendawaian elektrik dan itu kepakaran dia. Memang tak jangka perkara begini akan berlaku. 

   "Arwah Zunira sepatutnya uruskan suaminya serta emak. Eddy tinggal dengan ayah dan memang kerap datang ke rumah kakaknya untuk membantu kerana hubungan mereka pun rapat.

   "Tiada langsung kelainan yang ditunjukkan kecuali mereka berdua berkali-kali pesan dan ingatkan pada saya supaya jaga emak dan jangan terlalu sibuk. Jadual saya memang padat kerana mengajar dan ada program," katanya. 

   Menurutnya, Eddy juga memberitahu mahu menghantar Zunira ke Seremban untuk melihat keadaan suaminya. 

   "Dia minta supaya saya ada masa untuk emak dan jangan biar emak berseorangan. Berkali-kali Eddy dan Zunira pesan pada saya jangan tinggalkan emak.

  "Rupanya-rupanya mereka yang pergi tinggalkan emak. Alhamdulillah, ramai yang mendoakan mereka.

   "Eddy dan Zunira sangat baik. Baik itu bukan diukur daripada kopiah, tapi diukur dari sudut tak menyusahkan orang," katanya. 

   Jenazah kedua-dua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak petang semalam. 

Berita berkaitan

Pemain gitar profesional, Eddy Wan Othman meninggal dunia

Pemanas elektrik dipercayai punca renjatan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 1:00 PM