MAK Mah setiap hari menangis.
MAK Mah setiap hari menangis.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Ruminah Sidek, 75, dan cucu dikenali sebagai Amirul antara 41 orang termasuk kru syarikat produksi Cintakasih Productions Sdn Bhd yang menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.

Ruminah atau dikenali sebagai Mak Mah ketika dihubungi menangis menceritakan nasib menimpa dirinya selain menganggap ia adalah ujian Allah SWT.

"Saya terkejut dapat tahu seorang pelakon positif. Sejak itu, setiap hari saya menangis. Tidak tahu kenapa air mata ini mudah jatuh. Saya bersyukur ujian saringan negatif, tapi sedih mengenangkan nasib dilalui sekarang. Sebab pada usia sekarang, tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Semua anak sudah tahu mengenai perkara ini. Mahu buat macam mana lagi memang kena patuh pada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana kena kuarantin sehingga 29 April. Bertambah sedih apabila mengenangkan hari-hari dilalui di sini," katanya kepada Harian Metro.

Ruminah yang juga pelakon flem Tariandi terbitan syarikat produksi milik pelakon Aida Aris itu berkata, dia bersama kru lain juga dipindahkan ke sebuah hotel di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, dua pelakon filem itu iaitu Sweet Qismina dan Akil Halqi serta empat kru disahkan positif Covid-19, Selasa lalu.

"Alhamdulllah, saya tidak ada gejala. Saya anggap ini adalah takdir dan ujian Allah," katanya.

Ditanya sejauh mana kesudiannya untuk meneruskan penggambaran itu pada masa akan datang, Mak Mah berkata dia belum memikirkan soal itu.

"Kalau sambung penggambaran, tidak tahu lagi nak buat atau tidak. Dalam fikiran ini macam-macam difikirkan sebab tidak pernah dapat ujian macam ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:26 PM