Osman bersama Maya Karin.
Osman bersama Maya Karin.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penggambaran filem Telaga Suriram terpaksa 'berehat seketika' apabila pelakon utama dan beberapa pelakon baharu dijangkiti Covid-19.

Pengarahnya, Osman Ali ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat bagi memutuskan rantaian wabak di lokasi selain ingin mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.

"Macam Nabila Huda selepas balik dari Kuala Lumpur dia terus rehat. Sampai di sini dia buat kit ujian kendiri dan positif. Jadi, dia tak teruskan penggambaran. Kena kuarantin dalam bilik. Selain Nabila, ada tiga pelakon baharu juga kena dan dua kru teknikal.

"Apabila ada membabitkan pelakon dijangkiti jadi buat keputusan untuk rehat dulu bagi putuskan rangkaian. Kita mencari solusi lebih selamat, untuk menjaga kebajikan semua pihak. Kalau teruskan juga, nanti lebih melarat. Apabila semua sudah okay baru sambung penggambaran.

"Setakat ini, semalam dan hari ini memang tak buat penggambaran. Selepas ini bincang balik macam mana. Kalau semua sudah okay, baru teruskan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Osman, pasukan produksi juga sebelum ini pernah berehat selama lima hari apabila kru bahagian 'art department' dijangkiti wabak itu.

"Ini situasi sukar untuk produksi menjalani penggambaran dalam pandemik. Mahu atau tidak kita memang berdepan risiko. Memang kena sentiasa berhati-hati. Saya sendiri kena jaga juga. Prosedur Operasi Standard (SOP) memang boleh jaga, tapi apabila membabitkan pergerakan keluar masuk ini yang kita susah nak elak.

"Tentu saja penggambaran ini membabitkan kos terutama barang sewaan. Walaupun kita rehat, sewa berjalan, makan minum dan sebagainya. Saya faham situasi di pihak penerbit. Tapi, apa yang penting keselematan semua pihak," katanya.

Osman berkata, pihaknya juga terpaksa menyusun semula jadual penggambaran.

"Sekarang kami masih di Perlis. Disebabkan sekarang kena rehat, jadi ada beberapa lagi babak nak kena selesaikan di sini. Selepas ini, kami ke Baling, Kedah pula.

"Jadual penggambaran pun terganggu. Begitu juga dengan jadual artis lain membabitkan komitmen kerja mereka. Begitu juga 'time line' dengan pihak tertentu membabitkan filem ini pun terganggu. Tapi nak buat macam mana, kena berdepan juga situasi ini," katanya.

Filem Telaga Suriram menampilkan pelakon hebat seperti Maya Karin, Farid Kamil, Nabila Huda, Scha Alyahya, Ellie Suriaty Omar dan Fauzi Baadilla.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:20 PM