AIDA ARIS
AIDA ARIS
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pemilik syarikat produksi Cintakasih Productions Sdn Bhd, Aida Aris belum merancang untuk meneruskan penggambaran filem Tariandi yang dihentikan ekoran dua pelakon dan empat kru disahkan positif Covid-19, Selasa lalu.

Aida yang juga pelakon berkata, buat masa sekarang dia perlu melihat perkembangan kesihatan pelakon dan kru terbabit selepas mereka bebas virus itu nanti.

"Penggambaran akan diteruskan jika diizinkan Allah SWT. Cuma, buat masa sekarang perancangan belum ada lagi. Saya kena tengok perkembangan kesihatan dan masa mereka.

"Bagi pelakon yang disahkan positif, selepas bebas dari virus itu nanti kita perlu tahu juga tahap kesihatan okay atau masih perlu berehat. Jadi tak tahu akan bila penggambaran dibuat semula," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida, apa yang berlaku membuatkan dia selaku penerbit perlu menanggung kerugian dan pertambahan kos lain.

"Macam mana kita nak hentikan perkara ini. Dalam keadaan sekarang sesiapa saja boleh dijangkiti. Apabila kita tidak hentikan penggambaran, perkara ini akan melarat. Bagi saya pihak tertentu kena tengok perkara ini.

"Mungkin bagi mereka yang terbabit dengan penggambaran sebelumnya perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mulakan penggambaran baharu. Jadi, artis dan kru kena jujur sebab syarikat produksi tidak tahu. Kalau jadi macam sekarang ini, semua jadi susah. Penerbit tanggung rugi dan bajet 'lari'. Ia memeningkan produksi.

"Malah perkara ini membuatkan timbul masalah antara saya dan pasukan produksi. Mereka menjadi tidak puas hati dengan penerbit. Mereka tuduh saya lepas tangan dan abaikan pasukan. Mereka cakap, saya tak kuarantin bersama mereka. Kononnya saya lari," katanya.

Selain dua pelakon utama iaitu Sweet Qismina dan Akif Halqi, empat kru wanita turut disahkan positif Covid-19.Sementara 41 kru lain termasuk pelakon veteran Ruminah Sidek menjalani proses kuarantin di sebuah hotel di Ipoh, Perak.

Sebelumnya mereka semua ditempatkan di Pusat Kuarantin Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Ulu Kinta, Perak sejak Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 3:19 PM