MEREKA akan terus menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
MEREKA akan terus menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Isteri penyanyi, Alif Satar iaitu Sha Dila Hadid dan tiga anak mereka, Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, disahkan negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan, semalam.

Alif berkata, hasil ujian itu diterima pagi hari ini dan mereka akan terus menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Allah SWT makbulkan doa anda semua. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak saya bebas dari Covid-19 dan akan terus menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Saya menerima ribuan mesej dan kata-kata positif melalui Instagram dan WhatsApp. Saya baca dan nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga atas doa semua.

"Terima kasih atas semua yang sudah anda lakukan untuk saya sekeluarga. Saya berdoa semoga Allah SWT juga mengabulkan doa untuk anda dan keluarga juga. Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Sha Dila ketika dihubungi berkata, mereka kini menjalani kuarantin di rumah walaupun keputusan negatif.

"Walaupun negatif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan minta untuk buat ujian saringan kedua selepas 10 hari bagi memastikan virus ini betul-betul tidak ada dalam badan.

"Beberapa hari lepas memang hari yang sangat menakutkan dan mencabar untuk saya dan keluarga sebab sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan banyak perkara tak boleh buat. Sewaktu dapat tahu Alif positif ketika dia di Melaka. Saya masih tertanya-tanya adakah ia betul sebab dia tidak ada gejala.

"Apabila ujian kedua mengesahkan dia positif, banyak perkara yang saya fikirkan. Dalam masa sama, saya tahu Alif banyak kerja dan berjumpa ramai orang termasuk menjalani penggambaran drama dan Muzik Muzik 35. Jadi, saya risau bukan untuk dia saja, tapi semua orang yang dia jumpa. Ia akan menjadi satu masalah besar. Nak fikir masalah sendiri dan dalam masa sama kena bertanggungjawab untuk beritahu supaya orang lain tak terkena. Jadi boleh bayangkan tak macam mana pening untuk melalui hari-hari ke depan?" katanya.

Terdahulu, Alif mengesahkan dirinya positif wabak itu di Instagram, kelmarin.

Alif juga terbabit pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) pada Jumaat lalu.

Susulan itu, episod tiga SFMM 35 yang dijadual berlangsung kelmarin terpaksa ditunda dan kesemua kru produksi serta penyanyi yang terbabit pada Jumaat dan Sabtu menjalani ujian saringan.

Dalam masa sama, syarikat produksi drama JS Pictures yang turut membabitkan Alif sebagai pelakon utama menghentikan penggambaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:44 AM