AIDA Aris.
AIDA Aris.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penerbit, Aida Aris menyifatkan enam individu membabitkan dua pelakon dan empat kru dalam syarikat produksi Cintakasih Productions Sdn Bhd miliknya yang dijangkiti virus Covid-19 adalah di luar jangkaan.

Sehubungan itu, Aida menyarankan supaya pelakon atau kru perlu berehat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum memulakan penggambaran dengan syarikat produksi lain.

"Macam mana kita nak hentikan perkara ini. Dalam keadaan sekarang sesiapa saja boleh dijangkiti. Apabila kita tidak hentikan penggambaran, perkara ini akan melarat. Bagi saya pihak tertentu kena tengok perkara ini.

"Mungkin bagi mereka yang terbabit dengan penggambaran sebelumnya perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mulakan penggambaran baharu. Jadi, artis dan kru kena jujur sebab syarikat produksi tidak tahu. Kalau jadi macam sekarang ini, semua jadi susah," katanya yang juga pelakon.

Aida yang juga penerbit filem Tariandi berkata, apabila ia berlaku, penerbit terpaksa menanggung kosnya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan lima individu lain dalam produksi milik Aida yang menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak disahkan positif Covid-19 selepas salah seorang pelakonnya, Sweet Qismina positif virus itu, Selasa lalu.

Mereka terdiri daripada pelakon utama lelaki, Akif Halqi dan empat kru semuanya wanita iaitu pembantu pengarah 2, pembantu peribadi pengarah, kesinambungan dan clapper.

"Sekarang timbul masalah dengan pasukan produksi apabila tak puas hati dengan penerbit. Mereka tuduh saya lepas tangan dan abaikan pasukan. Saya didakwa tidak menjalani kuarantin bersama mereka dan kononnya saya lari," katanya.

Aida berkata, selepas Sweet Qismina disahkan positif, bermakna seluruh pasukan perlu dipantau dan kes diambil alih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi saya, apabila bekerja dalam keadaan penularan Covid-19, semua pihak perlu bersedia ambil risiko. Ini kerana tidak ada siapa tengok, tahu dan jangka perkara ini. Jadi, masing-masing kena jaga diri dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP).

"Namun, kita semua masih perlu bekerja dan cari makan. Tapi, apabila ada yang dijangkiti, janganlah pula salahkan penerbit," katanya kepada Harian Metro.

Aida berkata, timbul pertikaian dalam kalangan kru mengenai soal ujian saringan sebelum memulakan penggambaran filem Tariandi pada 15 April lalu.

"Ketika penggambaran dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kru dan pelakon perlu menjalani ujian saringan sebelum Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) keluarkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP). Namun, selepas status bertukar Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), ia tidak perlu lagi. Tapi, kalau ada nak buat ia atas inisiatif sendiri.

"Jika ada pihak yang pertikaikan kenapa syarikat produksi saya tidak buat, ini tidak ada dalam syarat apabila status bertukar ke PKPB. Jika masih perlu, tentu saja Finas tidak keluarkan SPP untuk produksi saya memulakan penggambaran.

"Apabila masalah ini berlaku pasukan kru pertikaikan. Apa saya boleh cakap, kenapa sebelum ini tak tanya? Kenapa apabila sudah kena baru tanya dan salahkan penerbit?" katanya.

Penggambaran filem Tariandi sudah dihentikan sejak 16 April lalu dan semua pelakon dan kru kini menjalani kuarantin di sebuah resort di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:05 AM