HARRIS anggap tiada apa perlu dirahsiakan kerana ramai sudah mengetahui kisah cintanya dengan Intan.
HARRIS anggap tiada apa perlu dirahsiakan kerana ramai sudah mengetahui kisah cintanya dengan Intan.
Najiy Jefri

SIAPA sangka, perbezaan usia 17 tahun bukan satu halangan buat pelakon dan pengacara, Harris Alif, 21, menakluki hati aktres Intan Ladyana, 38, pada awal tahun ini.

Mengakui pelakon filem Adnan Sempit dan Jangan Pandang Belakang itu memiliki personaliti unik serta matang dalam segala hal membuatkan dirinya terpikat untuk mengenali hati budi wanita itu.

Harris atau nama sebenarnya, Nor Harris Alif Nor Rashidi berkata, Intan seorang wanita yang berterus terang dan tidak banyak 'drama'.

"Saya terpikat dengannya bukan sebab dia pelakon dikenali. Tapi, dia seorang yang matang dan tidak terlalu rumit untuk saya rapat dan kenal.

"Dia juga sangat berterus terang dan tidak banyak 'drama'. Hubungan kami berjalan dengan mudah setakat ini. Dia tahu apa yang dia mahu capai dalam hidup sekali gus membuatkan saya selesa berkawan.

"Ada mempertikaikan kenapa saya memilih wanita berusia sedangkan ramai gadis muda. Bukan soal usia menjadi ukuran, ia lebih kepada keselesaan apabila saya bersama seseorang," katanya.

Dilihat bersikap terbuka dalam berkongsi kisah cinta di media sosial, Harris mengakui enggan terlalu berahsia mengenai hubungannya dengan Intan.

Harris berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana percaya lambat atau cepat kemesraan cinta mereka akan dihidu peminat.

HARRIS menghadiahkan Intan kucing baka British Short Hair ketika meraikan makan malam mereka berdua.
HARRIS menghadiahkan Intan kucing baka British Short Hair ketika meraikan makan malam mereka berdua.

"Saya bukan bersikap terlalu terbuka sebaliknya tiada apa yang perlu dirahsiakan ketika ini kerana ramai sudah mengetahui kisah cinta kami.

"Bagi saya, tidak menjadi satu masalah kalau berkongsi, sebab kami bukan buat benda jahat pun.

"Lagi pula, saya tidak dedahkan semua perkara mengenai hubungan kami di media sosial. Masih ada privasi dan cerita yang kami simpan berdua," katanya.

Menurut Harris, dia juga tidak menyangka foto bersama yang dimuat naik di Instagram sewaktu Aidilfitri lalu menjadi kecoh sekali gus mendapat perhatian yang meluas.

"Saya tak jangka kisah saya akan menjadi tular sehingga hampir semua orang tahu. Jika, diikutkan ramai sahaja yang ambil gambar raya berdua tapi gambar kami juga yang menjadi perhatian.

"Namun, saya okey saja kerana apa yang dikongsikan itu adalah perkara baik. Mungkin cerita ini sedikit sebanyak dapat membantu karier seni saya," katanya.

Sebelum ini, kisah cinta Harris yang juga juara pertandingan Idola Kecil musim ketiga hangat diperkatakan apabila berkongsi gambar bersama Intan di laman Instagram pada 6 Mei lalu. Seterusnya, pada Syawal kedua, pasangan berkenaan memuat naik gambar mengenakan baju rona sedondon.

Harris sekali lagi memuat naik gambar berdua ketika meraikan ulang tahun Intan ke-38 pada malam 2 Jun lalu.

Pada majlis ulang tahun Intan, Harris meraikan kekasihnya dalam majlis makan malam berdua. Dia turut menghadiahkan Intan kucing baka British Short Hair (BSH).

Ubah

Mengakui perkongsian mengenai hubungan cinta dengan Intan memberi seribu satu makna tersendiri. Harris berkata, sejak berkongsi berita perhubungan mereka, dia dapat mengubah mentaliti sesetengah orang yang menganggap dirinya masih selebriti remaja dan 'budak sekolah'.

"Mungkin hubungan ini ada hikmah tersendiri. Jujur, selepas saya berkongsi fasal hubungan ini ramai yang kata saya bukan lagi pelakon budak-budak sekolah.

"Selama ini saya akui bukan mudah nak ubah pemikiran orang yang masih anggap saya selebriti kanak-kanak memandangkan saya bermula aktif dalam industri sejak di bangku sekolah rendah.

"Sedangkan sudah lama saya sudah tidak melakonkan watak kanak-kanak atau remaja kerana lebih aktif dalam bidang pengacaraan. Tapi kali ini orang melihat

sisi berbeza saya," katanya.

Enggan terburu-buru menyentuh perihal fasa seterusnya memandangkan hubungan yang berputik masih baru, namun Harris mempunyai perancangan tersendiri.

"Doakan saja yang baik-baik. Nak kata ada sebarang perancangan untuk fasa seterusnya, memang tiada kerana masing-masing fokus dengan karier seni," katanya ringkas.

Menyentuh mengenai kerjaya seni, pengacara program Mpop! itu bersyukur apabila diberi peluang mengacarakan program infotainment itu sejak awal Januari lalu.

"Alhamdulillah, satu peluang yang menyeronokkan kerana program ini mempunyai cabarannya yang tersendiri. Meski bersiaran selama lima minit tapi, saya perlu pastikan topik yang dikongsikan itu sampai kepada penonton.

"Malah sebagai pengacara saya perlu memahami segala cerita yang disampaikan. Jadi, perlu ambil tahu mengenai perkembangan dunia seni supaya tidak ketinggalan," katanya.

Program Mpop bersiaran setiap hari Isnin hingga Rabu di TV3, jam 12.55 tengah hari dan TV9, jam 8.30 malam selama lima minit.

Selain Harris, program terbabit turut dihoskan oleh Hani Fadzil dan Nina Nadira secara bergilir-gilir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:00 AM