WANI Syaz bersama ibu dan abangnya. FOTO IG
WANI Syaz bersama ibu dan abangnya. FOTO IG
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Alhamdulillah dan Pedusta Cinta, Wani Syaz mengakui dia hingga kini belum pernah mempunyai pengalaman bercinta meski sekarang sudah berumur 24 tahun.

Wani atau nama sebenar, Nursyazwani Selamat berkata melihat kebanyakan rakan seusianya sudah mempunyai kekasih dan ada di antara mereka telah berumah tangga, dia teringin juga.

"Saya tak nafikan dalam hati pernah ada keinginan itu (rasai pengalaman bercinta). Tapi nampaknya, hingga kini masih tiada calon dan saya pun belum berkenalan atau berkawan rapat dengan seseorang pun.

"Selain menyanyi, aktiviti saya sibuk menguruskan perniagaan restoran keluarga. Jadi, saya rasa jodoh itu mungkin lambat lagi dan positif sahaja menunggu dengan teruskan berdoa. Tak perlu sedih atau rasa diri kekurangan.

"Mungkin juga, jodoh saya masih bayi atau bersekolah tadika. Mana tahu, sebab urusan jodoh, rezeki, kesihatan dan ajal, segalanya ketentuan Allah. Lagi pula, saya tengok ramai sahaja wanita berusia yang berkahwin dengan pasangan lebih muda," katanya kepada Harian Metro.

Mengakui dia juga kagum melihat percintaan pasangan selebriti, Intan Ladyana dan suami, Harris Alif, katanya cinta tidak mengenal usia dan sesiapa sahaja berpeluang untuk menikmati bahagia apabila sudah menemui jodoh itu.

Ditanya apakah kerana ibunya seorang guru agama dan dia juga anak bongsu yang rapat dengan keluarga menyebabkan lelaki segan atau malu untuk mendekati, Wani berkata semuanya bergantung pada rezeki jodoh.

"Selain makan minum, pendapatan, saya percaya jodoh juga adalah rezeki. Bagaimanapun, buat masa sekarang saya belum ada rezeki untuk itu (jodoh), namun Allah tetap berikan nikmat kebahagiaan buat saya bersama keluarga.

"Saya kini baru berusia 24 tahun dan tiada sasaran pun umur berapa nak berkahwin. Bagi saya, perancangan Allah itu lebih baik dan kita 'go with flow' sahaja. Tak perlu fikir sangat," ujarnya lagi.

Berbicara kerjaya nyanyian, Wani Syaz berkata dia bersyukur kerana dapat melancarkan single baharu berjudul Habibi pada November, tahun lalu. Katanya, di kala negara masih menghadapi penularan pandemik Covid-19, dapat hadir dengan satu lagu pun sudah alhamdulillah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 10:14 AM