HARIS enggan ulas lanjut foto yang dimuat naik di akaun Instagramnya. FOTO IG HARRIS ALIF
HARIS enggan ulas lanjut foto yang dimuat naik di akaun Instagramnya. FOTO IG HARRIS ALIF
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara Harris Alif, 21, mengunci mulut sama ada dia sudah melamar dan bakal berkahwin dengan pelakon Intan Ladyana, 38, dalam masa terdekat.

Harris juga enggan mengulas lanjut foto seakan gambar pra-perkahwinan bersama seorang wanita yang dimuat naiknya menerusi Instagram, hari ini.

Dia sebaliknya cuma mahu meminta doa ramai mengenai ketentuan jodohnya bersama pelakon terbabit.

"Maaf, buat masa ini saya tak mahu komen mengenainya. Bab sebegini saya serahkan kepada kuasa Allah, kalau ada jodoh saya, Insya-Allah adalah.

"Saya terima sahaja, kita doakan sahaja perkara baik-baik. Kalau ada apa-apa perkembangan, sudah tentu saya akan maklumkan selepas ini," katanya.

Seperti diketahui umum, pasangan itu mengumumkan sedang menyulam cinta pada Mac lalu.

Menurut Harris, dia juga tidak merasakan jurang usia antara mereka menjadi halangan selain bersedia untuk menjadi suami buat Intan.

"Kalau bercakap pasal tanggungjawab, ia bukanlah terletak pada umur semata-mata. Sebaliknya, tanggungjawab itu harus dilihat pada diri kita sendiri.

"Tak semestinya umur seseorang itu muda dia tidak bertanggungjawab. Demikian juga sebaliknya untuk yang sudah dewasa atau lebih tua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 3:34 PM