INTAN Ladyana.
INTAN Ladyana.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, Intan Ladyana, 42, teruja dan dalam masa sama gementar apabila bakal melahirkan anak kedua, April ini.

Intan berkata, dia berdoa semoga proses kelahiran itu nanti dipermudahkan Allah SWT.

"Saya teruja dan pada masa sama gementar menanti detik kelahiran anak kedua ini. Mestilah gementar sebab semua kehamilan tak sama kan," katanya.

Intan yang kandungannya kini berusia tujuh bulan berkata, dia dan suami yang juga pelakon, Harris Alif, 25, sangat teruja kerana bakal menyambut kelahiran anak lelaki sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga mereka.

Katanya, mereka juga gembira kerana bakal memiliki sepasang anak lelaki dan perempuan. Anak sulung mereka, Evie Khadeeja kini sudah berusia dua tahun.

"Semua pasangan pun impikan untuk dapat sepasang anak lelaki dan perempuan. Evie pun teruja nak dapat adik," katanya.

Ditanya mengenai kesihatannya, Intan berkata, dia dan bayi dalam kandungan juga berada dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, sekarang ini semuanya dalam keadaan baik-baik saja. Saya juga tidak lagi mengalami alahan seperti semasa trimester pertama sebelum ini," katanya.

Menurut Intan, dia juga sudah mula membeli barang keperluan bayi.

"Persiapan sudah mula dibuat dan bila hampir masa bersalin nanti baru kami pastikan semuanya lengkap untuk menyambut kehadiran anggota keluarga baru dalam keluarga ini.

"Saya juga sudah mula bercuti untuk memberi fokus pada kelahiran. Saya juga akan menjalani tempoh berpantang selama 44 hari nanti dan berehat sebelum kembali bekerja," katanya.

Terdahulu, Intan dan Alif berkongsi video mengenai pengumuman jantina bayi anak mereka yang dimuat naik di Instagram.

Pada majlis itu, Intan dilihat memecahkan belon sebagai kejutan buat tetamu yang hadir.

"Anak lelaki," tulis mereka ringkas.

Majlis itu turut meraikan ulang tahun kedua Evie Khadeeja.

Sebelum ini, Haris mengesahkan isterinya hamil anak kedua tetapi enggan berkongsi usua kandungan dan jantina bayi mereka.

Intan dan Alif mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 10:52 AM