HUSSAMUDDIN
HUSSAMUDDIN
Najiy Jefri

Sempena meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini, saluran TV AlHijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik.

Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tahun ini pihaknya mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir bagi mengajak penonton menghayati Ramadan dan Syawal sepanjang tempoh dua bulan mendatang.

"TV AlHijrah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi ruang rohani penonton sepanjang Ramadan dan Syawal nanti. Semua program sudah disusun rapi dan teliti supaya objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya," katanya.

Hussamuddin berkata, kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai ini Syawal Terakhir didukung tiga inisiatif utama stesen iaitu yang pertama adalah penerbitan dan penyiaran 24 rancangan baharu dan istimewa genre dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian serta filem.

Bagi inisiatif kedua adalah platform digital TV AlHijrah dan ketiga program tanggung jawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.

"Sama-sama kita jadikan stesen ini sebagai stesen pilihan nombor satu seisi keluarga serta ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan kita di akhirat kelak andainya ini adalah Ramadan dan Syawal terakhir kita semua," katanya.

PELAKON, Nina Fazurina pada sidang media program Ramadan dan Raya TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam TV AlHijrah.
PELAKON, Nina Fazurina pada sidang media program Ramadan dan Raya TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam TV AlHijrah.

Antara program menarik sempena Ramadan di TV AlHijrah adalah Haflah (Khamis dan Jumaat jam 10 malam bermula 1 April), Omar & Hana (Isnin hingga Sabtu jam 11.30 pagi bermula 12 April) Camca Edisi Ramadan ( 10 dan 12 April jam 6.30 petang), Ihya Ramadan (Isnin hingga Ahad jam 7 malam bermula 13 April) dan E-Kaunter Netizen (Ahad jam 7.30 malam bermula 18 April).

Tidak hanya itu, TV AlHijrah turut menyajikan program Hijrah Berselawat (Sabtu jam 10 malam - 24 April), Aura Al-Qadar (setiap Hari jam 10.30 malam bermula 28 April), Drama Andai Ini Ramadan Terakhir (jam 7 malam bermula 13 April), Sebuah Kehidupan (Jumaat dan Sabtu jam 7.30 malam bermula 16 April), Ittabiouni (Isnin hingga Rabu jam 10 malam bermula 13 April), Al-Farabi (Khamis jam 5.30 petang bermula 15 April) dan My #HadithTime (Isnin hingga Jumaat jam 5 petang bermula 1 April).

Bagi program menarik sempena Syawal pula adalah Camca Edisi Syawal (13 Mei jam 6.30 petang), Hijrah Berselawat (12 Mei jam 9 malam), Tau Tau Dah Raya (12 Mei jam 10 malam), Raya, Raya Juga (13 Mei jam 9 malam), Bioskop Hijrah - Hafalan Shalat Delisa (13 Mei jam 10 malam), Haflah Istimewa Syawal (14 Mei jam 9 malam) dan Bioskop Hijrah - Wanita Berkalung Sarban (14 Mei jam 10 malam)

DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri (kanan), dan Hussamuddin (tengah) melancarkan Hijrah Skuad Bubur Lambuk pada sidang media program Ramadan dan Raya TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam TV AlHijrah.
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri (kanan), dan Hussamuddin (tengah) melancarkan Hijrah Skuad Bubur Lambuk pada sidang media program Ramadan dan Raya TV AlHijrah di Kompleks Pusat Islam TV AlHijrah.

TV AlHijrah turut menayangkan telefilem berjudul Bebenang PKP Anis yang mengisahkan kehadiran pandemik Covid-19 membawa hikmah amat besar buat Anis Kemboja. Anis memikul tanggungjawab untuk menjaga anak Kak Zue kerana pembantu rumah Kak Zue melarikan diri ketika Kak Zue dan suaminya berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Bukan itu sahaja, Anis turut menyaksikan hubungan kasih sayang di antara ibu bapanya dan abangnya yang mengalami masalah sebelum ini kembali bertaut akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Telefilem yang dibintangi Lisdawati dan Syafie Naswip bakal ditayangkan pada 15 Mei jam 9 malam.

Selain itu, telefilem Bapa Posa Anak Raya (16 Mei jam 9 malam), Gema Haflah Istimewa Syawal (22 Mei jam 9 malam) dan Dokumentari Sudirman Chow Kit Road (16 Mei jam 6 petang).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 8:22 AM