DI sebalik tabir telefilem Sadaqallahul'azim.
DI sebalik tabir telefilem Sadaqallahul'azim.
Sudirman Mohd Tahir


UMAT Islam di seluruh dunia meraikan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 9 Oktober lalu. Kecintaan dan ketaatan kepada Rasulullah adalah tuntutan agama dan harus diekspresikan berlandaskan syariat Islam.

Tidak mahu ketinggalan dalam usaha mendapatkan syafaat Baginda Rasulullah SAW, stesen TV AlHijrah meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan menggunapakai tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, menerusi tema itu, TV AlHijrah beriltizam untuk bersama-sama Keluarga Malaysia mencintai serta memperingati mengenai nilai murni, pengajaran serta dakwah yang dibawa Nabi Muhammad SAW sepanjang kerasulan Baginda.

"Oleh demikian, 10 program utama ditayangkan bersempena sambutan istimewa ini. Program itu adalah Gema Haflah, Majlis Konvokesyen Khatam My #QuranTime, Hijrah Berselawat, Assalamualaikum Khas, Telefilem Sadaqallahul'azim, Jalinan Kasih, Dakwah Live Istimewa Maulidur Rasul, Akademi Daie Muda Yadim, Peristiwa Maulid, Studio AlHijrah dan Telefilem Sadaqallahul'azim.

"Semua siaran rancangan istimewa Maulidur Rasul di TV AlHijrah ini sudah semestinya mampu membantu penonton menghayati hari kelahiran Baginda SAW dengan lebih bermakna. Jadi, ayuh sama-sama baja rasa cinta buat Rasulullah di TV AlHijrah," katanya.

Gema Haflah memulakan siaran pada 7 Oktober lalu dengan menampilkan barisan selebriti jemputan seperti Datuk Nash, Lufya Omar, Mawi dan Hazwani Helmi. Semua mereka mengalunkan bacaan surah pilihan seperti surah al-Kauthar, al-Mulk, ar-Rahman, Quraish, al-Maaun, al-Fiil, al-Baqarah dan an-Nas dengan variasi maqam taranum seperti Bayati, Nahawand, Hijaz, Jiharkah dan Soba.

Bagi penggemar rancangan ladang ilmu My #QuranTime ia diraikan dengan Majlis Siaran Langsung Konvokesyen Khatam Tadabbur dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 8 Oktober lalu. Majlis ini kemuncak kepada sesi tadabbur 604 helaian al-Quran yang bermula di TV AlHijrah sejak 2020.

PROGRAM Dakwah Live disiarkan hari ini.
PROGRAM Dakwah Live disiarkan hari ini.

Seterusnya, TV AlHijrah menyiarkan rancangan baharu berjudul Jalinan Kasih pada 8 dan 9 Oktober lalu. Menerusi program itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad turun padang menyantuni, beramah mesra serta melakukan aktiviti kerohanian bersama penghuni Penjara Kajang. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah memberikan sokongan moral serta galakan untuk memperbaiki diri di masa hadapan.

Sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad diteruskan dengan rancangan Hijrah Berselawat dengan membawakan qasidah menarik terutama Humko Bulana serta Isyfaq Lana yang dilantunkan kumpulan Inteam, Faizal Tahir, Zaf VE, Pot Amir dan Mirwana. Penampilan istimewa, Ustaz Don Daniyal pula memberikan tausiyah mengenai sirah kehidupan Baginda Rasulullah.

Pada 9 Oktober lalu, program Assalamualaikum Khas bersama Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Shamsul Hakim. Rancangan bual bicara pagi ini berkongsi kisah kepimpinan Rasulullah SAW sebagai panduan kehidupan seharian.

PROGRAM Studio Hijrah menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air.
PROGRAM Studio Hijrah menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air.

Meneruskan siaran, telefilem Sadaqallahul'azim. Telefilem yang membariskan pelakon terbaik tanah air seperti Ungku Hariz, Husna Mustaffa, Anna Dahlia, Zaidi Omar, Razak Ahmad dan Ezlynn Arifin.

Dakwah Live pula bersiaran hari ini. Penonton akan bersama-sama Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Wasiril Aswad serta panel jemputan Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari bagi mengupas topik Rasulullah Aku Rindu. Perbincangan ilmiah ini pastinya menambah rasa cinta dan rindu buat Baginda.

Pada 13 Oktober ini (esok) ditayangkan pula program Akademi Daie Muda Yadim. Rancangan ini bermatlamat melahirkan ikon yang mampu menjadi tonggak tauladan buat masyarakat. Saksikan 28 peserta yang akan berentap secara sihat dalam merebut gelaran Daie Muda Yadim musim keempat.

TELEFILEM Sadaqallahul’azim.
TELEFILEM Sadaqallahul’azim.

Sementara itu, program Peristiwa Maulid disiarkan pada 15 Oktober ini. Rancangan ini berkonsepkan teater, nyanyian, qasidah dan penceritaan. Program ini menceritakan mengenai peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW hingga peristiwa kewafatan Baginda. Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi akan menjadi pentausiyah di samping pembabitan artis tanah air seperti Lah Ahmad, Daqmi, Hafiz Hamidun dan
Lan Solo.

Bagi menutup tirai kempen Maulidur Rasul di TV AlHijrah, Studio Hijrah disiarkan pada 17 Oktober ini. Studio Hijrah adalah sebuah program hiburan Islamik yang memaparkan lagu ketuhanan di Malaysia dengan genre pelbagai seperti rap, balada, pop, rock dan lain-lain. Nyanyian disampaikan secara akustik supaya lontaran dakwah dibuat dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 6:30 AM