NAMANZEE Harris melancarkan skuad bubur lambuk TV AlHijrah yang bakal menjelajah sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
NAMANZEE Harris melancarkan skuad bubur lambuk TV AlHijrah yang bakal menjelajah sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
Sudirman Mohd Tahir

STESEN TV Alhijrah mengorak langkah apabila menjadi stesen TV pertama negara ini yang bakal bersiaran secara langsung jam 5 pagi menerusi program Assalamualaikum Sahur bermula 3 April, sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, walaupun ia satu risiko pihaknya percaya kandungan yang dibawakan dalam program itu mampu menarik minat penonton kerana ia adalah pembaharuan yang diperkenalkan

"Pertamanya dalam sejarah stesen TV negara kita buat sahur secara langsung dari jam 5 pagi setiap hari. Pada hari biasa program Assalamualaikum sangat diminati ramai. Jadi kami ambil keputusan Ramadan kali ini kita cuba.

"Jujurnya ia satu risiko tapi kita tak tahu. Tapi kita melihat penonton TV Alhijrah ketika Ramadan dan hari lain pun ada tarikan ketika waktu sebelum Subuh. Pertama saya perlu jujur yang mana 'trend' ini di stesen TV Indonesia sudah lama dibuat. Di sana pada waktu Ramadan mereka bersiaran langsung dari jam 2 hingga 6 pagi. Setiap stesen TV mereka bersaing.

"Jadi kita cuba nak buat, sebab kita tahu ketika Ramadan ada penonton pada waktu pagi bila kita sajikan program siaran langsung dan panggilan telefon. Insya-Allah kita ada tarikan," katanya.

Menurut Namanzee, Assalamualaikum Sahur adalah program bual bicara pagi berkonsepkan Qiyamullail Munajat di sepertiga malam, sahur dan solat Subuh secara langsung.

NAMANZEE melancarkan skuad bubur lambuk TV Alhijrah yang bakal menjelajah di sekitar kawasan lembah klang.
NAMANZEE melancarkan skuad bubur lambuk TV Alhijrah yang bakal menjelajah di sekitar kawasan lembah klang.

ANTARA personaliti yang hadir di majlis pelancaran Ramadan Syawal TV Alhijrah.
ANTARA personaliti yang hadir di majlis pelancaran Ramadan Syawal TV Alhijrah.

Dalam masa sama, Namanzee berkata, menerusi kempen Ramadan dan Syawal 1443H, TV AlHijrah turut memberi fokus pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Hijrah Prihatin Skuad Bubur Lambuk 2022.

"Kempen Ramadan dan Syawal 1443H di stesen berkonsepkan Islam ini mendukung tema Ramadan Diberkati, Syawal Dirai. Selain itu, konsep #KongsiRezeki diterapkan dalam semua fokus utama ini.

"Sebagai contoh sebelum ini kita buat pemberian bubur lambuk menggunakan penghantar makanan kepada petugas barisan hadapan. Kali ini kita ke seluruh Malaysia. Apabila kita berkongsi perkara ini, ada pihak sudi bekerjasama iaitu pasukan Harley Davidson. Jadi kami berbesar hati dan mereka sedia untuk berkonvoi.

"Sambil itu mereka akan berdakwah dan memberikan infak rezeki dan bantuan lain. Dakwah dalam kalangan semua, bukan eksklusif pada agamawan saja. Sebenarnya geng permotoran ini mereka sudah lama dalam bidang dakwah ini, cuma bila adanya rakan artis bersama, tahun ini ramai turut serta. Jadi ia menjadi satu platform yang boleh disebar luas. Kita akan bagi tahu di mana kita berada," katanya.

Selain itu, antara program lain yang bakal disajikan sepanjang Ramadan dan Syawal ini adalah Khatam Perdana (29 April); Solat Tarawih Dari Mekah (bermula 3 April); Ittabiouni (bermula 4 April, Isnin - Selasa, 10 malam); Khilaf (bermula 4 April, Isnin - Rabu, 12 tengah malam); Ngaji On The Go Kids (bermula 6 April, Rabu - Khamis, 10 malam); Gema Haflah Ramadan (setiap Jumaat, 10 malam); Seikhlas Hati (bermula 7 April, Khamis - Jumaat, 5 petang); Wanita Syurga (bermula 9 April, Sabtu, 7.30 malam) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 6:42 AM