Rohana Jalil.
Rohana Jalil.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Rohana Jalil, 66, tidak berminat menghasilkan single terbaharu kerana peminat hanya mahukan lagu lama, bukannya lagu baru.

Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil berkata, ia satu kerugian kerana peminat tetap meminati lagu lama nyanyiannya.

"Buang masa saja kerana mereka (peminat) tak ambil kisah. Buatlah banyak mana pun lagu baharu, orang tetap suka lagu lama. Apapun saya bersyukur kerana orang masih ingat lagu saya," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku ini berkata, dia tidak kisah sekiranya peminat melupakannya apabila tiada lagu baharu.

"Sekarang ada pelbagai medium untuk mempromosikan diri. Kita ada YouTube, Instagram dan Facebook. Menyanyi saja di situ setiap hari pasti ramai yang suka.

"Kalau betul caranya, media sosial ini sangat membantu. Banyak penganjur yang tawarkan saya menyanyi apabila tengok saya di sini. Pada saya ia sangat berguna. Jika tiada media sosial orang tentu sudah lupakan saya serta artis seangkatan saya," katanya yang rajin memuatkan aktiviti terkininya di Facebook sebagai cara berinteraksi dengan peminat.

Rohana berkata, dia memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mencari pendapatan tambahan terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu.

"Saya sering dapat tawaran untuk membuat ulasan produk dengan kenakan caj tertentu dan untuk makanan tak dikenakan sebarang bayaran. Adalah juga rezeki di situ.

"Saya pun tak pilih jenis produk tapi tentulah produk ini okay buat pengguna. Saya berurusan secara profesional dengan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:33 PM