FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Amsterdam: Tidak dapat menerima kenyataan 'kehilangan' bapa tercinta, seorang lelaki di bandar Landgraaf, sanggup menyimpan mayat bapanya itu di dalam peti sejuk selama lebih setahun.

Independent UK melaporkan, tindakannya itu dipercayai kerana dia mahu terus 'berkomunikasi' dengan bapanya.

Lelaki, 82, memberitahu media tempatan, 1 Limburg, bahawa bapanya sudah meninggal dunia 18 bulan lalu pada usia 101 tahun.

"Saya tidak mahu kehilangan ayah saya. Jika tidak, saya akan merinduinya," katanya.

Sementara itu, polis Landgraaf dalam kenyataan memaklumkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Kami sedang menyiasat kematian mangsa dan mengapa mayat itu diletakkan di dalam peti sejuk.

"Demi kepentingan siasatan, kami tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengenai hubungan mereka dan penduduk bangunan itu," katanya.

Polis menerima laporan kejadian daripada doktor mangsa.

Polis Landgraaf yang menjalankan siasatan ke lokasi dan mendapati rumah lelaki itu dalam keadaan tidak terurus lalu memberi tempoh seminggu untuk membersihkannya sebelum pihak berkuasa menilai sama ada dia layak hidup sendiri.

Seorang jiran memberitahu media bahawa mangsa menghidap ketumbuhan dan kerap mendapatkan rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:14 PM