AMMY Fara pernah dikaitkan bercinta dengan Ivan Gunawan Putra.
AMMY Fara pernah dikaitkan bercinta dengan Ivan Gunawan Putra.
Ridzuan Abdul Rahman

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia membuatkan bekas peserta D' Academy Asia 2 pada 2017, Ammy Fara hanya berada di Narathiwat, Thailand.

Ammy Fara, 22, tidak dapat bergerak keluar ke mana-mana sama ada ke Malaysia atau Indonesia untuk membuat persembahan berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan.

"Agak kecewa juga apabila saya tak dapat bergerak untuk menyanyi seperti biasa kerana tawaran menyanyi sememangnya ada sama ada di Malaysia mahu pun Indonesia.

"Tapi, Covid-19 mengubah segala-galanya dan saya perlu terima apa yang berlaku dan anggap semuanya ada hikmah tersendiri.

"Masa yang ada di kampung saya gunakan dengan berlatih menyanyi bersama bapa kerana dia juga pemuzik," katanya.

Dalam pada itu, menjadi rezeki Ammy Fara juga apabila lagu popular Wany Hasrita, Menahan Rindu yang dinyanyikan dalam satu persembahan di kampungnya menarik perhatian komposer Patrick Khamis.

KETIKA menjalani muzik video Nafas Cinta.
KETIKA menjalani muzik video Nafas Cinta.

"Dia tertarik dengan nyanyian saya dan mendapat idea menghasilkan kesinambungan lagu itu yang dinyanyikan saya sendiri.

"Sukar digambarkan betapa gembiranya saya apabila terpilih menyanyikan lagu ciptaan komposer popular seperti Patrick.

"Sekarang secara rasminya saya menyanyikan lagu berjudul Nafas Cinta ini. Ia boleh disaksikan menerusi YouTube," katanya.

Dia yang pernah tampil dengan single berkonsep dangdut berjudul Yang Begini Itu Nie terbitan Padi Records pada 2017 mengharapkan lagu ini mendapat sambutan peminat.

"Tawaran diterima ini umpama 'orang mengantuk disorongkan batal'. Sudah lama saya berhasrat menyanyikan lagu ciptaan Patrick.

"Syukur kerana sebaik mengetahui saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ciptaannya (Patrick) yang terkenal dengan lagu balada, Solaris Record bersedia menjadi penerbit.

"Mereka sudah memuat naik lagu Nafas Cinta ini di YouTube sejak 10 Februari lalu," katanya.

Nama Ammy Fara menjadi sebutan di persada Nusantara kerana kepetahannya berbicara dan menyanyikan lagu Melayu khususnya berentak 'koplo'.

Sebelum ini, dia juga pernah dikaitkan dengan pereka fesyen, aktor dan penyanyi Indonesia dikenali, Ivan Gunawan Putra, bagaimanapun Ammy Fara menjelaskan ia hanya hubungan profesional sebagai artis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:30 AM