NEETA.
NEETA.
Georgie Joseph


Dambakan kepuasan, kumpulan trio IAmNeeta yang dianggotai Neeta, Anas dan Patrick cenderung menyanyikan lagu ciptaan sendiri.

Bukan menafikan kehebatan komposer sedia ada tetapi dengan cara itu dapat mengekspresikan muzik mengikut selera sendiri.

“Kami mahu dikenali dengan karya ciptaan sendiri. Bukan tidak mengalu-alukan kolaborasi tapi rasa lebih puas begini.

“Apabila ada idea, kami mahu laksanakan ia mengikut selera sendiri tanpa membabitkan orang lain,” kata Neeta.

Terbaru, trio itu mempertaruhkan single baru berjudul Sakit. Meskipun baru dilancarkan beberapa hari, ia mendapat sambutan hangat dan mula menjadi siulan peminat.

“Kami terkejut dengan penerimaan pendengar terhadap lagu ini. Rata-rata suka dan berikan maklum balas positif.

“Ia secara tidak langsung membakar semangat kami untuk terus berusaha menonjolkan diri. Mana tidaknya, berbanding karya terdahulu, Sakit lebih mendapat perhatian.

“Baru beberapa hari dilancarkan, jumlah tontonan muzik video Sakit di YouTube sangat memberangsangkan,” katanya.

Neeta memaklumkan, antara faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan ini kerana mereka memberikan sepenuh hati terhadap pembikinan lagu itu.

“Boleh dikatakan semua yang kami mahukan ada dalam lagu ini. Bukan sahaja ciptaan Patrick sepenuhnya, konsep juga cetusan idea kami sendiri,” katanya.

Ditanya adakah lagu itu ada kaitan dengan kembara seni mereka yang terpaksa menempuh pelbagai liku, Neeta menafikannya sambil menegaskan, ia berdasarkan pengalaman hidup Patrick.

“Lagu ini ada kaitan dengan Patrick. Saya tertarik selepas mendengar penjelasannya.

“Saya yakin pendengar akan suka dengan lagu ini dan dapat rasa apa yang cuba disampaikan Patrick,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:00 AM