Kugiran Masdo.
Kugiran Masdo.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan Kugiran Masdo memohon maaf kepada peminat yang membeli piring hitam edisi terhad album Jalan Abbey mereka selepas berlaku kelewatan untuk penghantarannya.

Kugiran Masdo menjelaskan penghantaran itu tertangguh berikutan situasi pandemik Covid-19 sekarang kerana penghasilannya dilakukan di Jerman.

"Kugiran Masdo yakin anda semua pasti teruja menunggu produk terbaharu kami iaitu Vinyl (piring hitam) Jalan Abbey yang dijangka menemui anda pada 21 Februari ini.

"Namun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan di mana antaranya adalah penangguhan penghantaran produk-produk kami dari pengilang di Jerman.

"Kerana pandemik Covid-19, kami memohon maaf kerana penghantaran dijangka hanya boleh dibuat selepas Mac nanti, atau di antara April dan Mei," katanya.

Kumpulan yang popular dengan lagu Teruna dan Dara itu juga menawarkan pengembalian wang kepada peminat sekiranya tidak mahu meneruskan pembelian terbabit.

"Kami mengharapkan kerjasama dan kesabaran anda untuk bersama kami di waktu sukar ini. Namun, kami juga menawarkan pembayaran semula (refund) untuk produk-produk kami yang sudah dibayar sekiranya anda memilih berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, kumpulan dianggotai Ali Sariah sebagai vokalis, Asmawi (gitar utama), Putu Ceri (bass) dan Azham Ahmad (dram) mengumumkan pra tempahan bagi album terbaharu mereka, Jalan Abbey dalam bentuk piring hitam sudah dibuka.

Piring hitam itu menjadi yang pertama buat Kugiran Masdo dan terhad kepada 150 keping sahaja. Album terbabit diakui cukup istimewa buat mereka kerana dirakam di Abbey Road Studios, London.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 12:00 PM