KHAIRIL (dua kiri) dan rakan-rakan bergambar dengan Subi.
KHAIRIL (dua kiri) dan rakan-rakan bergambar dengan Subi.
Ridzuan Abdul Rahman


PENDERITAAN bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subi, 55, yang mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017, ternyata mengundang simpati ramai pihak.

Selain itu, Subi atau nama sebenarnya Subarma Mohtaruddin juga mula menjadi pelupa akibat pendarahan dalam kepala kerana kepalanya terhantuk bucu meja serta kemalangan jalan raya.

Sebagai bekas rakan sekerja, Khairil Rashid amat bersimpati dengan Subi yang dahulunya dikenali sebagai seorang sangat ceria dan periang.

Khairil atau nama sebenarnya Khairil Azwan Mohd Rashid bersama Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid, Ustaz Farkhan Madinah dan pelakon Ezai Zulkarnain menziarahi Suby baru-baru ini.

Biarpun sakit, Subi yang ceria dengan kunjungan ini masih dapat mengingati nama rakannya itu.

Terlihat kegirangan di wajahnya apabila dikunjungi oleh rakan-rakan. Satu persatu kenangan ketika bekerja dengan Khairil diceritakannya kepada semua yang hadir.

Bahkan, ibarat satu keajaiban apabila kunjungan ini menjadi terapi yang dapat mengembalikan ingatan Subi.

Dia mula rancak bercerita kisah ketika zaman sekolah, pekerjaan dan pelbagai lagi.

AISHAH setia menjaga suaminya yang kurang sihat.
AISHAH setia menjaga suaminya yang kurang sihat.

Isterinya, Aishah Saironi, 57, bekas pesara polis mengakui kebenaran perkara ini.

"Lepas dia (Subi) keluar dari wad Hospital Kuala Lumpur akibat kemalangan, banyak yang berubah. Pendarahan tidak dikeluarkan kerana doktor kata tak membesar dan statik begitu sahaja.

"Tapi nampak agak pudar, tak macam yang asal. Doktor pun tak buat apa-apa kerana Subi dah berumur. Doktor bekalkan ubat tahan muntah dan sakit kepala kerana kepalanya sentiasa pening.

"Ia bukan kerana terhentak, tapi kerana hilang imbangan akibat masalah pendengaran. Tapi, ubat hospital sudah habis dan saya kena rujuk balik kepada doktor kerana dia perlu ubat untuk kawal sikapnya yang agresif. Sekarang dia mudah tidur berbanding sebelumnya," katanya.

Khairil, bekas penyampai radio Sinar FM berkata, ia adalah kunjungan keduanya terhadap Subi.

"Alhamdulillah, nampaknya dia okey lagi dan boleh berbual-bual dengan kami. Malah dia masih ingat lagi kawan-kawan lama.

"Saya rasa gembira dengan perkembangan dia. Walaupun dalam keadaan begini, tapi sokongan daripada kawan-kawan buat pemikirannya semakin aktif.

"Jadi diharapkan lebih ramai kawan yang dahulu bekerja di Astro, Suria FM dan Best FM dapat datang melawat dan bagi sokongan kepada Subi. Insya-Allah dengan sokongan dan kunjungan mereka, dia akan jadi bersemangat dan lebih kuat," katanya.

Sementara itu, IRAMA pula menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur dan wang tunai buat Subi.

Subi dan Aishah Saironi mempunyai dua anak iaitu Nur Adibah, 23, dan Muhammad Yusof, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:14 AM