ABANG Subi dan DJ Lin.
ABANG Subi dan DJ Lin.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyampai radio popular, DJ Lin mengakui dia terkejut sebaik mengetahui keadaan kesihatan terkini bekas penyampai radio Suria FM, Subi, 55 yang dilaporkan semakin kronik.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid dihubungi berkata dia memang tahu Subi sakit, namun tidak menduga tahap masalah kesihatan yang dihidapi bekas rakan sepasukannya itu agak serius.

"Saya sempat bekerja di bawah satu pasukan dengan abang Subi dan hubungan kami pun rapat. Sikapnya yang baik, ceria serta sangat mengambil berat menjadikan dia umpama 'bapa' buat kami, penyampai radio Suria FM.

"Sejujurnya, saya sangat terkejut apabila membaca berita mengenai keadaan kesihatan abang Subi sekarang yang dilaporkan Harian Metro, baru- baru ini.

"Pada awal tahun ini, saya tahu dia sakit dan ada melawatnya di hospital. Ketika itu, saya tengok badannya memang kurus, tetapi Alhamdulillah dia masih ingat serta kenal dengan saya. Dia seronok sangat ketika kami jumpa dan kata rindu pada kawan-kawan lain,"  ujarnya kepada Harian Metro.

Menurut DJ Lin yang juga Pengurus Kanan Suria FM merangkap Ketua Stesen Radio, sebaik Subi tamat kontrak perkhidmatan dengan Suria FM pada penghujung 2017, mereka hanya berkomunikasi di media sosial kerana Subi suka menulis komen pada 'posting' rakan-rakan.

"Apapun, saya tak sangka sakit abang Subi sekarang agak serius. Saya bercadang mahu ziarah dia di rumahnya bersama beberapa rakan penyampai Suria FM, esok untuk kami hulurkan bantuan kewangan bagi keperluannya.

"Saya juga ada mengumpulkan sumbangan wang yang dikutip daripada kira-kira  30 penyampai Suria FM untuk diserahkan kepada abang Subi serta keluarganya nanti," katanya.

Menurut DJ Lin, dia bersama rakan lain mendoakan Subi cepat sembuh. Katanya, selama kenal dan bekerja dengan Subi, dia orangnya sangat disenangi ramai, ramah dan  sentiasa kelihatan gembira.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Subi atau nama sebenarnya Subarma Mohtaruddin mengalami masalah hilang pendengaran sejak 2017.

Anak sulungnya, Nur Adibah, 23,  berkata pendengaran bapanya mula hilang sedikit demi sedikit dan sekarang ia semakin kronik.

"Telinga kanan ayah sudah tak boleh mendengar, manakala pendengaran telinga kiri pula hanya 30 peratus. Tidak pasti apa puncanya dan doktor pun tidak dapat pastikan bagaimana ia terjadi," katanya.

Subi mendirikan rumah tangga dengan Aishah Saironi, 57,yang kini pesara polis dan mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Adibah dan Muhammad Yusof, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 3:09 PM