SAKIT kebas hinggakan kadangkala tidak boleh menggenggam pada bahagian tangan mengganggu rutin harian ibu hamil. FOTO fail NSTP
SAKIT kebas hinggakan kadangkala tidak boleh menggenggam pada bahagian tangan mengganggu rutin harian ibu hamil. FOTO fail NSTP
Siti Nadirah Hafidzin


Sakit dan kebas hinggakan kadangkala tidak boleh menggenggam tangan semasa hamil tentu saja menimbulkan rasa bimbang terutama kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kehamilan buat kali pertama.

Kebas itu tidaklah menyakitkan namun ia mendatangkan rasa kurang selesa terutama ketika melakukan tugasan harian di rumah mahupun di pejabat.

Wanita hamil yang melalui simptom itu berkemungkinan besar mengalami sindrom terowong Karpus. Keadaan itu dikaitkan dengan bengkak dan peningkatan berat semasa hamil, apabila saraf utama di pergelangan tangan menjadi lebih tertekan.

Mengupas mengenai sindrom itu, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Dr Salini Suhaila Nasir berkata, tidak semua wanita hamil mengalaminya dan anggarannya berbeza di antara 20 hingga 60 peratus.

“Bagi kebanyakan wanita yang mengalaminya, rasa sakit dan kebas itu sedikit saja dan bersifat sementara. Kebiasaannya ia akan hilang selepas melahirkan anak.

“Namun bagi sesetengah wanita, keadaan ini boleh menjadi lebih teruk dan berterusan selama beberapa bulan selepas melahirkan bayi,” katanya.

Menyentuh mengenai tanda yang dapat dikenal pasti, Dr Salini Suhaila berkata, simptom sindrom terowong Karpus biasanya lebih teruk pada waktu malam, tetapi ia juga boleh menjejaskan aktiviti pada waktu siang.

“Simptom ini termasuk rasa sakit, semut-semut atau mencucuk, biasanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan separuh jari manis terasa panas. Wanita yang mengalaminya turut berasa sakit pada bahagian tangan dan kadangkala pada bahagian bawah lengan yang menyebabkan genggaman menjadi lebih lemah terutama pada bahagian ibu jari. Ia juga membuatkan jari atau tapak tangan menjadi kebas apabila keadaan bertambah teruk,” katanya.

Menurutnya, sindrom itu boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi biasanya ia dialami pada trimester kedua atau ketiga iaitu apabila tangan mula membengkak.

“Apabila usia kehamilan semakin meningkat, wanita sering mengalami bengkak pada seluruh tangan termasuk pergelangan tangan, begitu juga di pergelangan kaki dan tapak kaki.

SINDROM terowong Karpus kerap dialami wanita hamil pada trimester kedua atau ketiga. FOTO fail NSTP
SINDROM terowong Karpus kerap dialami wanita hamil pada trimester kedua atau ketiga. FOTO fail NSTP

“Keadaan inilah yang meningkatkan sindrom terowong Karpus lebih kerap berlaku dalam trimester kedua dan ketiga iaitu apabila si ibu lebih berkemungkinan mengalami bengkak,” ujarnya.

Tambahnya, tekanan pada saraf yang membengkak itu menjadi penyebab masalah pada saraf utama yang menuju ke tangan dan seterusnya saraf-saraf kecil yang menuju ke ibu jari dan jari lain.

“Kebiasaannya, situasi ini lebih kerap terjadi pada waktu malam. Jadi langkah terbaik setiap kali mula berasa sakit atau kebas, cubalah tukar posisi tidur kerana ia dapat melegakan ketidakselesaan yang dirasai itu.

“Selain itu, elakkan tidur beralaskan tangan, cuba gerakkan tangan sehingga kesakitan atau rasa kebas itu berkurangan, meregangkan pergelangan tangan dan jari dengan kerap sepanjang hari namun dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan masalah ini menjadi semakin teruk,” katanya.

Menurutnya, elakkan tugas yang memerlukan pergerakan tangan berulang-ulang seperti menaip dan memandu kerana ini boleh menyebabkan simptom semakin teruk.

“Anda boleh cuba duduk dengan keadaan tangan ditinggikan contohnya dengan meletakkan tangan di tempat bersandar apabila anda duduk menonton televisyen di sofa.

“Tidak banyak kajian dibuat mengenai kaedah rawatan khusus bagi sindrom ini. Oleh itu, wanita yang mengalaminya perlu mendapatkan rawatan sesuai. Jika anda ragu-ragu, rujuklah doktor atau ahli fisioterapi yang mungkin dapat memberi rawatan sepatutnya dan bersesuaian,” ujarnya.

Dr Salini Suhaila berkata, sindrom itu berkemungkinan besar boleh hilang selepas bersalin namun jika kesakitan itu berterusan selepas bayi dilahirkan, berkemungkinan besar memerlukan pembedahan kecil untuk menghilangkan tekanan pada saraf yang mengunjur dari lengan atas hingga ke tapak tangan.

“Semasa pembedahan, satu hirisan kecil akan dibuat pada tapak tangan supaya doktor boleh memotong ligamen yang menekan saraf.

“Sebaik saja potongan pada ligamen dilakukan, tekanan akan hilang dan membolehkan saraf median berfungsi semula. Sembilan daripada 10 pesakit tidak lagi berasa sakit selepas menjalani prosedur ini,” katanya.

Tambahnya, rujuklah kepada doktor jika sakit dan kebas itu mengganggu tidur atau rutin seharian dan jangan ambil sebarang ubat penahan sakit tanpa merujuk kepada doktor terlebih dulu.

“Doktor mungkin mencadangkan supaya memakai anduh pada pergelangan tangan pada waktu malam dan jika boleh pada waktu siang juga.

“Lihatlah keadaan diri sendiri dan jangan melengahkan sekiranya kesakitan bertambah kerana dibimbangi berlakunya masalah lain,” ujarnya.

Info Sindrom terowong Karpus

• Sindrom terowong Karpus biasanya berlaku pada trimester kedua dan ketiga

• Lebih kerap berasa sakit atau kebas pada waktu malam

• Jika terasa kebas, ubah posisi tidur

• Elakkan berbaring dengan beralaskan tangan

• Gerakkan tangan sehingga kesakitan atau rasa kebas berkurangan

• Regangkan pergelangan tangan dan jari secara kerap sepanjang hari

• Elakkan tugas yang memerlukan pergerakan tangan yang berulang-ulang. Jika terpaksa, rehatkan tangan anda setiap 20 atau 30 minit.

• Duduk dengan keadaan tangan ditinggikan

• Boleh gunakan anduh untuk merehatkan tangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:00 AM