ROHANA JALIL
ROHANA JALIL
Najiy Jefri


Kuala Lumpur:  Biarpun sudah beberapa kali dipelawa menyertai program Gegar Vaganza (GV), penyanyi era 1980-an, Rohana Jalil nekad untuk tidak terbabit dalam program realiti itu.

Rohana berkata, selain faktor usia dia juga tidak mampu berhadapan dengan kecaman netizen.

"Memang ada jemputan untuk terbabit dalam GV, tapi saya tak akan masuk. Lagipun usia saya sudah 65 dan tahun depan 66 pula. Setakat menyanyi atas pentas membuat persembahan itu tiada masalah, tetapi bukan untuk bertanding. 

"Lagipun saya tahu macam mana perjalanan dan komitmen yang diperlukan kerana ramai kawan artis sudah sertainya sebelum ini. Saya juga bimbang kalau tidak boleh nak ikut. 

"Komen netizen pun macam-macam. Saya bukan tidak boleh terima kritikan, tetapi mungkin sebab saya sudah berusia. Kilafairy dan anak-anak lain pun memang tak setuju kalau saya masuk GV," katanya.

Menurut Rohana, dia mengakui ada menerima pelawaan untuk terbabit dalam GV8, tetapi memilih untuk tidak menyertainya. 

"Mereka ada juga panggil untuk tahun depan, tetapi saya pilih untuk tidak ambil. Tak naklah, dah tua. Saya suka berikan sokongan pada rakan artis bertanding. 

"Kalaulah ketika itu umur saya 50 tahun, mungkin boleh lagi dipertimbangkan tawaran itu," katanya yang bersyukur kerana tawaran nyanyian masih lagi ada. 

Dalam perkembangan lain, Rohana kini terlibat dalam perniagaan import dan eksport daging frozen dan mentah dikenali Rohana Jalil Resources Sdn Bhd dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 1:11 PM