HAFIZ tetapkan matlamat empat tahun lagi untuk memperlahankan kerjaya seni.
HAFIZ tetapkan matlamat empat tahun lagi untuk memperlahankan kerjaya seni.
Najiy Jefri


USAHA tangga kejayaan. Sama ada dalam kehidupan dan kerjaya, kedua-duanya mampu dicapai dengan usaha berlipat ganda.

Apapun, doa dan tawakal pada Yang Maha Esa tidak boleh dilupakan, kerana ia juga menjadi kunci kejayaan.

Bagi komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun semestinya dia ada sasaran dalam kehidupan yang ingin dicapainya.

Namun, kebelakangan ini sisi peribadi Hafiz cukup menjadi perhatian apabila dia dikaitkan sudah bergelar jutawan.

Rata-rata, warganet yang mengikutinya di media sosial beranggapan Hafiz kini menjalani kehidupan serba mewah.

Bersikap terbuka dengan telahan warganet itu, Hafiz nyata tidak menolak dakwaan netizen mengenai dirinya yang kini sudah bergelar jutawan.

Hafiz berkata, meskipun dilimpahkan rezeki yang berganda namun bukanlah tiket untuk dirinya hidup dengan bersenang-lenang.

"Saya tak nafikan kata-kata netizen mengenai perkara itu kerana saya bekerja keras ke arah itu. Saya rendah diri sebab saya pun masih bekerja. Kalau orang kata jutawan yang tak payah kerja, saya pun nak.

"Tapi saya tetap kena kerja juga malah ada pasang surut yang perlu saya hadapi. Saya bukan hanya buat muzik saja, tapi saya ada buat pelaburan dan saya juga ada beli hartanah.

"Lagipun saya berniaga dan ada tanggungjawab, kena fikir mengenai pekerja, bayar zakat dan cukai. Bukan nak kata kita ni kaya raya.

"Macam saya sendiri sudah tetapkan matlamat dalam empat tahun lagi ketika umur saya dah 40 tahun, baharu saya fikir nak perlahankan kerjaya seni, sebab makin meningkat usia saya nak relaks," katanya.

Hafiz yang ditemui pada majlis pelancaran Sabda Kekasih di Universal Music Malaysia Sdn Bhd, Menara Symphony, Petaling Jaya, berkata, dia melalui pelbagai onak duri sebelum sampai ke tahap sekarang.

Mengimbau kembali perjalanan seninya, Hafiz berkata, kehidupan yang dilalui pada awal pembabitannya sebagai penyanyi amat mencabar.

"Pernah sekali dalam poket saya tinggal RM1 sahaja. Masa itu beli mi segera 80 sen dan baki tinggal 20 sen saja. Menitis juga air mata waktu itu.

"Pernah juga kereta yang saya baru beli tapi lepas itu tak ada duit nak bayar. Waktu itu hanya ada duit untuk makan saja. Dua bulan tak bayar, terus kena tarik.

"Sebab itu, saya bekerja keras untuk capai kehidupan sekarang ini. Saya memahami keadaan generasi muda yang berdepan masalah kewangan tapi apa yang penting, kena rajin berusaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 8:40 AM