JASMIN Hamid. FOTO Instagram Jasmin Hamid
JASMIN Hamid. FOTO Instagram Jasmin Hamid
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


"SAYA berbogel di media sosial ke? Saya murtad ke? Saya ganggu keluarga kamu ke? Saya makan duit rakyat ke?"

Itu luahan pelakon Jasmin Hamid yang dikecam netizen gara-gara memuat naik video perkongsian mengenai malam Lailatul Qada di Instagram peribadinya baru-baru ini.

Jasmin menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa terkilan apabila dia dikatakan tidak sesuai berkongsi mengenai Islam jika dilihat kepada penampilan dirinya yang tidak menutup aurat.

"Tak ada angin tiba-tiba nak 'nerakakan' saya sampai sanggup bertubi-tubi menghantar mesej peribadi.

"Hanya kerana saya muat naik dan kongsi mengenai malam Lailatul Qadar, saya dikecam. Umpama orang yang tak bertudung macam saya tak layak kongsi mengenai Islam.

"Adakah orang yang bertudung saja layak dekat pada Allah SWT? Orang yang tak bertudung dan dianggap jahil macam saya tak layak belajar mendekatkan diri pada Allah SWT sampai bila-bila?" katanya.

PAPARAN luahan yang dimuatnaik Jasmin Hamid. FOTO Instagram Jasmin Hamid
PAPARAN luahan yang dimuatnaik Jasmin Hamid. FOTO Instagram Jasmin Hamid

Terdahulu pelakon drama Halalkan Hati Yang Ku Curi itu memuat naik paparan skrin mesej netizen yang mempersoalkan dia masih tidak memakai hijab walaupun usia semakin meningkat di Instagramnya.

Menurut Jasmin, selama ini dia tidak pernah berniat untuk mengaibkan sesiapa, namun hatinya terguris apabila dibanjiri dengan kata-kata negatif.

"Selama ini saya hanya diam dan sekat netizen yang negatif tetapi makin menjadi-jadi pula netizen sekarang. Sampai sanggup mengguris perasaan saya.

"Tak habis-habis isu tudung, apa yang kamu sakit hati sangat ya? Hanya sebab saya artis dan tak bertudung, kalian boleh komen sesuka hati?

"Saya tetap padam nama pengirim mesej negatif ini sebelum kongsi sebab tak nak aibkan sesiapa.

“Tujuan utama saya untuk beritahu pada orang yang buat macam itu. Pada yang nak baca, silakan, pada yang tak suka, abaikan," katanya.

Sementara itu, Jasmin meminta netizen mendoakan orang yang mereka sayang ketika solat bukan di media sosial.

"Doakan orang yang kamu sayang di dalam sujudmu, bukan di media sosial. Allah SWT maha mengetahui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 4:02 PM