NUR Adibah (kanan) bersama bapanya, Allahyarham Subi.
NUR Adibah (kanan) bersama bapanya, Allahyarham Subi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Memang saya sedih. Terbayang-bayang bagaimana gembiranya ayah semasa saya bertunang. Dari dulu saya selalu bayangkan bagaimana dia akan ada di sisi saya semasa nak bernikah dan melakukan semua persiapan."

Itu kata Nur Adibah, 24, anak sulung bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Allahyarham Subi yang akan berkahwin esok.

Subi atau nama sebenarnya Subarma Mohtaruddin meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor selepas menjalani pembedahan membuang usus pada 13 April lalu.

Nur Adibah berkata, dia reda dengan ketentuan Allah yang lebih menyayangi bapanya dan menerimanya dengan tabah.

"Esok juga kami akan buat tahlil dan doa selamat untuk arwah. Saya dan bakal suami, Mohd Haminuddin Mazlan, 26, bertunang pada Januari lalu pun atas cadangan ayah. Ketika itu keluarga bakal suami datang menziarahi ayah di rumah semasa dia sakit," katanya kepada Harian Metro.

Nur Adibah mula mengenali bakal suaminya ketika belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sejak 2016.

"Keluarga kedua-dua belah pihak pun dah berjumpa semasa arwah sihat lagi. Kemudian semasa keluarga bakal suami datang menziarahi ayah buat pertama kali pada tahun lalu, arwah ada bersuara berkenaan hubungan kami. Kami akhirnya buat keputusan bertunang pada Januari lalu," katanya.

Majlis pernikahan Nur Adibah dan Mohd Haminuddin akan berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Selangor pada jam 11 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:17 PM