Tyzo
Tyzo
Zaara Talita


Petaling Jaya: Penyampai radio, Tyzo berkata adalah tidak wajar tanggungjawab soal rating diletakkan pada bahu dia seorang memandangkan segmen Suria Petang yang dikendalikannya itu turut dijayakan bersama Sharifah Shahirah.

"Saya kerja seorang ke? Saya kerja berdua dengan Kak Rara (Sharifah Shahirah). Oleh itu saya tidak tahu menahu mengenai soal rating dan sebagainya.

"Lazimnya gambar penyampai radio segmen pagi diletakkan pada poster. Namun, kenapa pengurus besar yang juga penyampai radio segmen malam yang diberikan keutamaan?

"Saya rasakan layanan tidak diberikan sama rata. Bila saya menang anugerah kenapa tidak diraikan seperti mana DJ Lin diraikan sebelum ini? Saya berharap ini adalah kali terakhir saya mengulas mengenai isu ini.

"Saya sayangkan Suria FM dan sekiranya ditawarkan saya akan pertimbangkan kerana saya masih mahu kerja dengan Kak Rara. Namun di sebalik apa yang berlaku, saya rasakan peluang ini sangat tipis," katanya.

Dalam pada itu, Tyzo atau pemilik nama penuh, Zolqarnain Idris, 47, dia menafikan meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.

Tyzo bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan jumlah gaji yang diterima kerana berpendapat terlalu peribadi untuk dikongsi.

"Kalau orang tahu angka sebenar gaji yang saya terima namun semestinya saya memilih untuk tidak mendedahkan gaji saya kerana terlalu privasi untuk dikongsikan kepada umum. Cuma apa yang pasti, saya hanya meminta tambahan sebanyak RM500 saja.

"Kalau pihak pengurusan radio boleh mengambil tiga penyampai radio yang baru, kenapa kenaikan gaji yang hanya RM500 ini tidak boleh diberikan? Apatah lagi, DJ Lin ada mengumumkan keuntungan besar radio.

"Malah rasanya semua sedia maklum dengan keuntungan yang diraih oleh Suria FM," kata Tyzo ditemui Harian Metro. Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir pada Jumaat minggu lalu.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin dilaporkan berkata, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi serta perancangan baharu untuk menghasilkan produk lebih menarik dan segar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 8:11 AM