KLGU2 lakonan Namron ditayangkan di We TV mulai 10 dan 11 Disember lalu.
KLGU2 lakonan Namron ditayangkan di We TV mulai 10 dan 11 Disember lalu.
Syafil Syazwan Jefri

DIKENALI sebagai pelakon versatil yang mampu menjayakan apa juga karakter, Namron kini hadir dengan karakter terbaharu sebagai Mat Nor dalam drama bersiri KL Gangster Underworld 2 (KLGU2).

Menjadi karakter baharu, Mat Nor dibentuk oleh Namron sebagai karakter gengster yang lebih kepada 'perancang' tanpa memerlukannya melakukan banyak aksi pertarungan.

"Kalau bercakap soal karakter Mat Nor, tak banyak aksi pertarungan kerana saya ditampilkan sebagai satu sosok yang menjadi perancang atau 'mastermind' dalam kumpulan dikenali sebagai Geng Utara," katanya.

Berbicara mengenai karakter dan posisinya dalam KLGU2, Mat Nor adalah watak baharu yang tidak dibawa daripada musim siri pertama dalam francais KLGU.

NAMRON adun sendiri watak Mat Nor mengikut caranya.
NAMRON adun sendiri watak Mat Nor mengikut caranya.

"Disebabkan ia adalah karakter baharu, saya bentuk semula karakter ini tanpa menonton siri pertama. Ia disebabkan saya beranggapan bahawa sekiranya merujuk siri pertama, ia akan mengganggu rasa dan jiwa untuk karakter itu.

"Jadi, saya bentuk sendiri, tuangkan idea mengenai perwatakan yang dimahukan oleh pengarah ke dalam bentuk visual. Secara ringkasnya, Mat Nor ini ada kepentingan dalam perniagaan.

"Jadi, dia digambarkan sebagai orang yang baik, mulia, dianggap sebagai pejuang dan disegani walaupun sebenarnya ada agenda yang tersembunyi," katanya.

Berkongsi mengenai keserasian antara pelakon, Namron bersyukur kerana rata-rata yang terbabit dalam KLGU2 adalah kenalan rapatnya.

"Keserasian tak menjadi masalah kerana rata-rata semua pelakon adalah kenalan rapat saya dan ini bukan kali pertama kami bekerjasama. Jadi, bila lebih mengenali rakan-rakan gandingan, mudah untuk kami bekerja.

"Tenaga semua mereka juga sangat memberangsangkan kerana masing-masing cukup 'memberi' tatkala melakonkan karakter mereka," katanya.

Selain Namron, KLGU2 juga dibintangi barisan pelakon hebat lain, antaranya Beto Kusyairy, Dynas Mokhtar, Ezzaty Abdullah, Amerul Affendi dan ramai lagi.

KLGU2 ditayangkan secara eksklusif di platform digital, WeTV bermula 10 dan 11 Disember lalu serta seterusnya menemui penonton pada setiap Khamis dan Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 6:40 AM