Tidak letak sasaran bila akan berkahwin kerana  perlu kukuhkan kewangan dulu
Tidak letak sasaran bila akan berkahwin kerana perlu kukuhkan kewangan dulu
Norhayati Nordin

norhayati@[email protected]

DI KALA kebanyakan selebriti sebaya dengannya bersikap terbuka berkongsi kisah peribadi terutama percintaan, ia tidak bagi penyanyi Syafiq Farhain.

Pemuda berusia 26 tahun ini mengakui berat baginya berbicara soal cinta kerana lebih selesa dikenali peminat melalui kerjaya nyanyian.

Dirisik mengenai percintaannya, anak Allahyarham Saleem Iklim ini berkata, dia memang kurang selesa untuk bercerita soal peribadi.

“Saya sebenarnya mahu bersih daripada sebarang gosip atau kisah sensasi membabitkan percintaan kerana perlu menjaga imej.

“Ini kerana selain aktif dalam bidang nyanyian, saya juga diketahui ramai mempunyai kerjaya tetap lain iaitu sebagai anggota bomba,” katanya.

Menurut Syafiq, penting baginya untuk memastikan diri tidak terpalit dengan gosip atau cerita sensasi yang menjurus pada gimik atau publisiti murah.

“Terus-terang, saya lebih selesa untuk dikenali peminat dan masyarakat melalui kerjaya sebagai anak seni berbanding kehidupan peribadi.

“Atas sebab ini juga, saya menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram (IG) secara berhemah dengan mengemas kini aktiviti seni.

“Saya memang kurang membuat perkongsian cerita peribadi kerana berasakan perjalanan kerjaya yang harus lebih diberi perhatian untuk diuar-uarkan,” katanya.

Ditanya juga perancangan perkahwinan, Syafiq atau nama sebenar Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, dia belum lagi memikirkan ke arah itu.

MAHU bersih daripada sebarang kisah sensasi kerana perlu menjaga imej.
MAHU bersih daripada sebarang kisah sensasi kerana perlu menjaga imej.

“Sekarang, saya mahu memberi tumpuan kepada memantapkan kerjaya kerana perlu mencari duit dan mengukuhkan kewangan.

“Apatah lagi saya tidak meletakkan sasaran usia atau tahun bila nak berkahwin kerana banyak yang perlu dicapai. Malah, untuk memperolehnya saya kena usaha.

“Ditambah, pembabitan saya dalam kerjaya nyanyian pun belum berada pada tahap selesa. Kemunculan bakat baharu kini terlalu ramai.

“Oleh itu, saya harus ada strategi berkesan untuk memastikan sentiasa dilihat wujud dalam industri. Salah satunya, saya perlu tampil dengan lagu baharu,” katanya.

Pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, Syafiq berkata hampir empat tahun aktif menyanyi, dia sudah menghasilkan empat lagu.

“Cuma, lagu-lagu dirakamkan selepas Sayang Maafkan Aku kurang mendapat perhatian pendengar dan sekali gus, saya kurang berjaya.

“Bagaimanapun, saya tidak akan mudah berputus asa kerana sedar proses penghasilan lagu adalah satu percaturan. Ada rezeki, meletuplah lagu itu.

“Jika sebaliknya (kurang diterima), saya harus akur kerana cita rasa pendengar sukar dijangka. Apatah lagi, saya pula meminati genre muzik era 1990-an,” katanya.

Menyifatkan lagu 1990-an memiliki melodi dan lirik yang sedap didengar, Syafiq berkata, setiap penyanyi pasti ada genre lagu diminati/

Muncul dengan lagu solo kelima

Baru melancarkan lagu terbaru berjudul Sakit Hati, Syafiq berkata, karya itu mengisahkan hubungan percintaan yang terputus di tengah jalan.

Ditanya apakah dia pernah mengalami putus cinta, Syafiq berkata, setiap orang pasti ada pengalaman kecundang dalam hubungan kasih dibina.

“Saya pun pernah alami situasi putus cinta. Cuma, sekarang tidak begitu mengingatinya lagi. Tetapi, untuk dapatkan ‘feel’ dalam lagu adalah mudah.

“Macam saya kata, kisah putus cinta ini dekat dengan ramai orang. Malah, mengimbau sedikit kenangan lalu sangat membantu saya,” katanya.

Mengulas juga apakah dia serik bercinta, katanya, dia tidak serik kerana menyimpan impian untuk berumah tangga satu hari nanti.

“Kalau saya serik bercinta, susahlah nak berkawin nanti. Dalam kehidupan ini, situasi putus cinta adalah perkara biasa.

“Untuk saya, jika sudah sampai rezeki, insya-Allah akan berkawin juga. Cuma, sekarang tidak tahu bila jodoh akan tiba,” katanya.

Mengharapkan lagu Sakit Hati diterima baik pendengar, Syafiq berkata, penting untuk dia giat melakukan aktiviti promosi lagu.

Apapun, katanya kelapangan masa yang terhad membuatkan dia perlu mengatur masa dengan betul kerana terikat pada dua kerjaya.

“Yang pasti, saya tidak terfikir mahu meninggalkan kerjaya sebagai kakitangan kerajaan. Saya akan terus berbakti, selagi termampu.

“Disebabkan itu, pengaturan masa sangat penting buat saya supaya perjalanan dua kerjaya yang diceburi ini bergerak seiring,” katanya.

Mengulas juga mengenai tawaran persembahan menyanyi, Syafiq berkata, dia bersyukur masih mendapat undangan terutama pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 6:01 AM