AIMAN tidak menafikan ada kenalannya yang terpengaruh dan terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
AIMAN tidak menafikan ada kenalannya yang terpengaruh dan terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
Syafil Syazwan Jefri

MEMBANTERAS gejala penagihan dadah bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab semua sebagai anggota masyarakat termasuk golongan selebriti.

Antara selebriti yang kini bergerak secara aktif untuk membanteras isu sosial ini adalah Aiman Tino. Berada dalam lingkungan usia remaja, Aiman tidak menafikan ada kenalannya yang terpengaruh dan terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

"Kita sebagai remaja perlu memainkan peranan membantu membanteras gejala tidak sihat ini. Tak dinafikan ada dalam kalangan rakan-rakan dan kenalan saya yang terpengaruh dan terjurumus.

"Apa yang dapat saya lakukan adalah ajak mereka untuk melakukan aktiviti yang lebih sihat dan memakan banyak masa contohnya memancing. Ini kerana, apa yang saya lihat ramai dalam kalangan mereka yang terjebak dengan dadah ada banyak masa terluang dan menganggur," katanya.

Kini, Aiman sudah dua tahun bergelar ikon bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Tahun lalu, saya sudah mulakan tugasan sebagai ikon, namun disebabkan jadual kerja yang padat, saya tak dapat berikan komitmen sepenuhnya. Namun, saya jalankan juga beberapa tanggungjawab saya dengan mengambil inisiatif sendiri.

"Tahun ini, alhamdulillah ada beberapa aktiviti yang saya sertai. Sebelum kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada pertengahan bulan lalu, saya dan rakan-rakan artis yang turut menjadi ikon berkesempatan ke Kelantan untuk mendekati golongan penagih.

AIMAN Tino kini aktif bersama AADK atas masalah sosial negara.
AIMAN Tino kini aktif bersama AADK atas masalah sosial negara.

"Di sana, banyak ilmu dan pengalaman yang saya dapat dan di sana juga, kami berbincang mengenai slogan atau nama kempen yang sesuai untuk mendekati remaja. Dari situ, muncul slogan #TakPerluStimGuys yang menjadi nama kempen untuk AADK kali ini," katanya.

Menurutnya, sekiranya tiada aral melintang, tahun 2021 akan menyaksikan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan oleh AADK.

"Kalau diikutkan perancangan, ada beberapa aktiviti yang disusun AADK untuk tahun depan. Jadi, sama-sama kita doakan agar krisis pandemik ini tidak berlarutan dan semua yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Terbaru, Aiman baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk karya berkonsepkan kisah dongeng berjudul Gerbang Entropi selain single baru hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Ikhwan Fatanna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:35 AM