Mohamad Taufek (tengah) menyampaikan sijil kepada Mohd Arif sambil disaksikan Suhaimi. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohamad Taufek (tengah) menyampaikan sijil kepada Mohd Arif sambil disaksikan Suhaimi. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


BEKAS pemain badminton perseorangan negara, Mohd Arif Abdul Latif, teruja apabila dipilih Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Ikon Antidadah Negeri Sembilan.

Mohd Arif, 30, adalah jaguh badminton negara dan pernah memenangi beberapa kejuaraan kejohanan badminton grand prix kebangsaan dan dunia.

Kali terakhir beliau meraih kejuaraan di pentas dunia apabila memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Rusia pada 2018, sebelum mengambil keputusan berehat Disember tahun lalu.

Menurut Mohd Arif, dia tidak menyangka AADK Negeri Sembilan memilihnya sebagai ikon sekali gus menjadi sebahagian daripada skuad antidadah dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Saya sangat teruja apabila dipilih sebagai ikon antidadah dan tidak menyangka menjadi pilihan AADK negeri dalam membantu agensi berkenaan memperhebatkan kempen kesedaran bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Saya sangat menghargai pemilihan itu dan ia suatu penghargaan serta akan berusaha memainkan peranan aktif dalam membantu AADK untuk menghapuskan aktiviti dadah dalam masyarakat di negeri ini.

“Ini suatu peluang yang baik bagi saya dalam memberikan sumbangan untuk kepentingan masyarakat kerana dadah adalah musuh nombor satu negara dan masyarakat kita perlu menjauhkan diri daripada terjebak dalam kegiatan yang sia-sia itu,” katanya.

Mohd Arif ditemui selepas majlis pelantikan sebagai Ikon Antidadah sempena Program Komuniti Cakna Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan ke-37, Peringkat Negeri Sembilan 2020, di Masjid Dato Klana Petra Lela Mohd Yusof, Seremban, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan turut hadir sama, Pengarah AADK negeri, Suhaimi Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Mohd Arif yang kini bertindak sebagai jurulatih Kelab Badminton Zakry yang beroperasi di Seremban 2, berkata, dia akan menggunakan masa terluang untuk menjayakan setiap kempen kesedaran memerangi dadah.

Menurutnya, dia sedar masalah dadah perlu ditangani secara serius kerana khuatir pembabitan golongan muda dalam kegiatan tidak sihat itu amat merugikan masa depan negara.

“Saya akan cuba menggunakan media sosial dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya golongan muda terhadap kesan buruk jika terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berharap pemilihan Mohd Arif dapat membantu AADK negeri menjayakan kempen memerangi dadah sekali gus membanteras pembabitan golongan muda dalam aktiviti tidak sihat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 11:07 AM