ANTARA babak dalam video muzik Chikadun.
ANTARA babak dalam video muzik Chikadun.
Syafil Syazwan Jefri


MEMEGANG status sebagai selebriti tidak mengehadkan tugasan mereka hanya menghiburkan peminat, tetapi turut memiliki tanggungjawab lain untuk masyarakat.

Bagi kumpulan Floor 88, mereka mempunyai matlamat tersendiri untuk membantu masyarakat terutamanya golongan belia.

Terbaharu, kumpulan ini hadir dengan single berjudul Chikadun yang menyalurkan mesej mengenai kesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja.

"Kalau ditonton video muzik Chikadun ini, kami memaparkan secara metafora kesan pengambilan dadah. Kami mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Coki yang popular di TikTok kerana dia memiliki pengaruh besar kepada remaja dan kanak-kanak," kata pemain keyboard, Eric Fuzi.

Berkongsi mengenai jalan cerita yang dipaparkan dalam video muzik itu, ia mengisahkan mengenai remaja yang berfantasi selepas mengambil dadah.

"Jalan ceritanya tak terlalu sukar untuk difahami. Ia mengisahkan mengenai remaja lelaki yang dilakonkan oleh Coki, terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Itu sekali gus mencipta imaginasi dan fantasi dalam fikirannya. Pada peringkat awal, semuanya nampak menyeronokkan. Namun, lama kelamaan baharulah dia sedar akan kesan buruk daripada pengambilan dadah itu kerana ia bukanlah cara untuk lari daripada masalah," katanya.

Penyanyinya, Ayie Elham yakin muzik dan lagu mampu menjadi salah satu platform terbaik untuk menyampaikan mesej positif kepada pendengar terutamanya generasi remaja.

"Kehadiran video muzik ini mungkin akan menerima pelbagai komen dan kritikan daripada pendengar. Namun begitu, sebagai pengkarya kami melihat komen-komen itu dari sudut positif. Menerusi lagu, mungkin impak mesej yang ingin kita sampaikan itu akan sampai dengan lebih mudah. Secara tak langsung, ia juga memberikan kekuatan untuk kita terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang sudah terjerumus ke dalam penyalahgunaan dadah ini," katanya.

Di YouTube, video muzik Chikadun yang dilancarkan sejak dua minggu lalu sudah mencatat lebih 2.7 juta tontonan.

Selain Eric dan Ayie, Floor 88 yang turut dianggotai Achoi, Akram, Amir dan Falique itu juga kini bergelar ikon anti dadah bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di samping barisan artis lain antaranya Elisya Sandha dan Aiman
Tino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:30 AM