Omar Ahmad


Johor Bahru: Sehingga kini, polis Johor berjaya mengesan 40 tokan yang menjadi pembekal dadah kepada pelajar di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka dikesan hasil temubual dengan 124 daripada 177 pelajar yang positif dadah ketika saringan air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kemudian menjalankan operasi khas pada 29 September hingga 8 Oktober lalu dan menahan 21 suspek yang dipercayai pembekal dadah di beberapa lokasi.

"Suspek itu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dengan tiga tangkapan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; enam mengikut Seksyen 39A (1); 10 orang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) dan dua lagi di bawah Seksyen 39C akta sama.

"Kita sedang mengesan baki 19 pembekal dadah lagi, yang memerlukan siasatan lanjut kerana maklumat yang diberikan terlalu umum dan tidak tepat," katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor (JPJKK) antara Senior Asisten Komisioner (SAC) Razimi Ahmad dengan SAC Alzafny Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

AYOB Khan (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Razimi (kiri) dan Alzafny (kanan). FOTO Zain Ahmed.
AYOB Khan (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Razimi (kiri) dan Alzafny (kanan). FOTO Zain Ahmed.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, modus operandi tokan itu secara kecilan dan akan merekrut pelajar yang mana awalnya akan diberi dadah secara percuma, sebelum ditawar imbuhan apabila berjaya mencari pelajar baharu untuk mencuba barang larangan itu.

"Dadah yang popular dalam kalangan pelajar adalah ganja kerana lebih murah senang dibawa dan digunakan. Sepeket ganja dijual pada harga RM40," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai menahan lima remaja berumur 17 hingga 19 tahun bersama 3.29 gram ganja bernilai RM164 di taman permainan Bandar Putra Kulai, pada 12.43 tengah malam semalam.

Menurutnya, semua mereka didapati positif dadah dan hasil soal siasat ke atas mereka membolehkan seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan yang juga tokan dadah kepada remaja berkenaan.

Katanya lagi, semua pelajar yang ditemubual mendedahkan pembabitan mereka dalam penyalahgunaan dadah kerana terpengaruh dengan rakan, mempunyai masalah atau sejarah keluarga terbabit dadah selain kurang peka dengan kesan bahan itu.

"Justeru, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk berkongsi maklumat dalam membanteras penagihan dadah selain dengan AADK," katanya.

GAMBAR hiasan, dadah yang tersorok dalam pen. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan, dadah yang tersorok dalam pen. FOTO Arkib NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 12:34 PM