Syafil Syazwan Jefri dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti beberapa 'port' yang dibina semula oleh penagih dadah di kawasan rintis sebagai lokasi melepaskan gian mereka.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, golongan ini mengambil kesempatan membina semula sarang penagihan apabila mendapati tidak ramai individu keluar di kawasan mereka kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ada kawasan yang dilihat sunyi kerana tidak ramai orang lalu-lalang di lokasi berkenaan menyebabkan penagih berani membina semula port yang pernah dirobohkan oleh AADK bersama agensi lain.

"Situasi ini berlaku di kawasan Petaling Jaya Selatan baru-baru ini apabila port yang sebelum ini dirobohkan dibina semula oleh penagih kerana kawasan berkenaan sunyi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah di Pejabat AADK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi.

Pada majlis itu, seramai lapan artis dilantik sebagai ikon iaitu Kumpulan Floor 88, Aiman Tino, Keena Mentor, Izzmad Harun, Elisya Sandha dan Hafiz Nafiah.

Pelantikan ikon itu bertujuan membantu AADK menyebarkan mesej mengenai kesan bahaya penggunaan dadah kepada kumpulan sasar sekali gus sebagai benteng kepada golongan selebriti supaya tidak terbabit dengan aktiviti berkenaan.

ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama selebriti ikon Antidadah pada majlis pelancaran Kempen Ikon Antidadah di Primera Hotel. FOTO Rohanis Shukri.
ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama selebriti ikon Antidadah pada majlis pelancaran Kempen Ikon Antidadah di Primera Hotel. FOTO Rohanis Shukri.

Zulkifli berkata, kebanyakan penagih dadah masih dapat menerima bekalan sepanjang tempoh PKPB sama ada secara bersemuka atau perkhidmatan penghantaran termasuk e-hailing.

"Sindiket pengedaran dadah akan tetap meneruskan operasi mereka walau apa pun berlaku termasuk mengubah taktik serta mendapatkan pelanggan baharu memandangkan 'perniagaan' itu amat menguntungkan.

"Wujud kebimbangan di pihak kami sekiranya bekalan dadah masih dapat diterima oleh penagih termasuk melalui kaedah penghantaran makanan secara e-hailing memandangkan perkhidmatan itu paling banyak digunakan," katanya.

Mengulas mengenai isu individu menghidu gam, beliau berkata, meskipun jumlah golongan terbabit tidak seramai penagih dadah, namun pihaknya memandang berat isu berkenaan kerana ia memberi impak besar kepada kesihatan otak.

"Malah, kami ada mengesan aktiviti menghidu gam dalam kalangan remaja berusia belasan tahun. Walaupun belum ada undang-undang khas terhadap golongan ini, tetapi ada tindakan yang diambil.

"Ini kerana kebanyakan mereka juga dikenal pasti mengambil dadah lain yang boleh dikesan berdasarkan ujian saringan awal air kencing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 6:10 PM