ANGGOTA Eva menziarahi Ruslan baru-baru ini. FOTO Ihsan Mimi Eva
ANGGOTA Eva menziarahi Ruslan baru-baru ini. FOTO Ihsan Mimi Eva
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Komposer irama dangdut popular era 1990-an Ruslan Mamat, 59, meninggal dunia dalam tidur di Hospital Serdang malam tadi akibat masalah jantung.

Isterinya, Rahmah Ismail, 59, ketika kepada dihubungi berkata, Allahyarham turut mengalami masalah paru-paru berair.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu punca kematiannya akibat masalah jantung. Suami memang sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Dia dimasukkan semula ke hospital pada 5 November lalu untuk rawatan. Jam 8 malam tadi, jururawat bagi dia minum susu kerana dia tak lalu makan.

"Sekitar jam 9 malam, jururawat nak bagi dia makan ubat. Apabila dikejutkan dia sudah tak beri sebarang respon," katanya yang sempat melawatnya kelmarin.

Rahmah berkata, dia menerima kematian suaminya dengan tenang kerana Ruslan sudah lama menderita sakit.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras sebelum Zuhur hari ini," katanya.

Ruslan meninggalkan isteri serta empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

RUSLAN (kiri) pada era kegemilangan irama dangdut pada pertengahan 1990-an. FOTO Arkib NSTP
RUSLAN (kiri) pada era kegemilangan irama dangdut pada pertengahan 1990-an. FOTO Arkib NSTP

Semasa hayatnya, Ruslan menggunakan nama anak keduanya Nabila dalam setiap karya.

Allahyarham memulakan karier sebagai wartawan sebelum bergelar komposer.

Sentuhannya begitu ditagih oleh syarikat rakaman semasa era kegemilangan irama dangdut pada pertengahan 1990-an.

Artis-artis yang pernah mendapatkan khidmat Ruslan antaranya ialah Amelina, Haiza, Mas Idayu, kumpulan Eva, Ifa Raziah, Ani Maiyuni dan Shikin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 9:02 AM