TINGGAL kenangan. Sheila ketika bertugas sebagai pramugari.
TINGGAL kenangan. Sheila ketika bertugas sebagai pramugari.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpir: "Kalau ikut rasa hati, memang saya sedih. Tapi, jika diberhentikan ketika kontrak masih berjalan, lagilah sangat sedih kerana kita masih lagi komited nak bekerja," kata penyanyi Sheila Abdull yang secara rasmi menamatkan kerjayanya sebagai anak kapal syarikat penerbangan Malindo.

Sheila, 32, atau nama sebenarnya Nursheila Abdullah berkata, dia sebenarnya terselamat daripada dua pemberhentian sebelum ini.

"Ikutkan perkara sebenar, kontrak bekerja saya tamat pada 10 Oktober lalu. Malah, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, saya dah ambil cuti tanpa gaji kerana risaukan kesihatan anak, Chempaka.

"Saya seterusnya sambung cuti tanpa gaji kerana bimbang dengan pandemik Covid-19 dan akhirnya baru-baru ini, terima surat tamat kontrak," katanya kepada Harian Metro.

Sheila berkata, situasi Covid-19 membuatkan syarikat terpaksa mengurangkan pekerja kerana kontrak tidak akan ditamatkan jika seseorang pekerja tidak bermasalah. 

Penyanyi lagu Mungkinkah yang mendirikan rumah tangga dengan bekas anggota kumpulan Drama Band, Ammar Habir ini bagaimanapun menganggap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.

SHEILA bersama suami, Ammar dan anak mereka.
SHEILA bersama suami, Ammar dan anak mereka.

"Saya rasa gembira kerana dapat jaga anak sepenuh masa. Ketika bekerja, Chempaka yang kini berusia setahun tiga bulan tinggal berjauhan di Johor kerana dijaga oleh ibu saya. 

"Nak hantar dia ke pusat penjagaan kanak-kanak pun susah dengan keadaan kerja saya. Sekarang saya dapat besarkan dia depan mata dan ia lagi seronok dan bernilai," katanya.

Sheila mengakui pengalaman selama empat tahun sebagai anak kapal  menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan. 

"Saya dapat pergi sana sini dan jumpa macam-macam orang. Banyak benda baru saya dapat belajar.  Ia juga amat berbeza dari kerjaya  nyanyian. Buat masa ini, saya belum ada perancangan.

"Mungkin juga saya akan buat perniagaan yang fleksibel dan mana tahu juga akan kembali menyanyi. Saya rindu menyanyi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 7:55 PM