ZALI tidak terpengaruh gaya nyanyian Haqiem bawa lagu Pewangi dengan cara sendiri.
ZALI tidak terpengaruh gaya nyanyian Haqiem bawa lagu Pewangi dengan cara sendiri.
Sudirman Mohd Tahir


INGIN mengikut jejak langkah abangnya yang juga penyanyi popular Haqiem Rusli, Zali Rusli, 15, teruja apabila dapat melancarkan single sulung, Pewangi pada 2 Oktober lalu.

Lagu hasil ciptaan Haqiem dan Ibnu itu diharap menjadi titik mula buat Zali untuk terus mengembangkan bakat nyanyian, sekali gus menempa kejayaan seperti Haqiem.

Bagaimanapun, Zali berkata, dia diberikan syarat oleh ibu bapanya supaya tidak mengabaikan pelajaran jika menyertai bidang seni.

"Saya memang meminati bidang nyanyian. Saya selalu ikut dan menonton persembahan abang. Jadi, apabila single sulung dihasilkan, saya teruja. Malah, saya menyimpan hasrat untuk berkongsi pentas bersama abang suatu masa nanti.

"Cuma, selepas dilamar syarikat rakaman FMC Music, saya diberikan syarat oleh ibu bapa supaya tidak mengabaikan pelajaran.

"Dalam masa sama, abang selalu memberi sokongan sepenuhnya untuk saya melangkahkan kaki sebagai anak seni, tetapi perlu memberi tumpuan juga pada pelajaran," katanya.

Mengenai single itu, Zali berkata, dia membawakan lagu itu dengan cara tersendiri dan tidak terpengaruh dengan gaya nyanyian Haqiem.

"Saya meletakkan harapan tinggi pada lagu ini dan berharap pendengar tidak membandingkan saya dengan abang.

"Menerusi lagu ini saya menyampaikan lagu Pewangi dengan cara sendiri dan tidak terpengaruh dengan cara nyanyian abang walaupun lagu ini hasil ciptaannya," katanya.

Sementara itu, Haqiem berkata, dia akan cuba sehabis baik membantu adiknya.

"Sebagai abang, saya akan cuba sehabis baik membantu adik saya dalam mencipta nama dalam industri muzik Malaysia.

"Bukan senang nak masuk dalam industri muzik ini. Jadi, saya kena beri tunjuk ajar pada adik saya untuk menempuhi liku-likunya," katanya.

Dalam masa sama, Haqiem yang baharu muncul dengan single Adlina Marie berharap Zali menjadi penghibur yang baik.

Selain itu, Haqiem juga mahu Zali belajar lebih banyak ilmu dalam bidang muzik dan penciptaan lagu.

"Harapan saya untuk Zali, semoga dia dapat belajar perkara baharu dalam industri muzik Malaysia. Sebab dia sangat muda. Saya beri galakan untuk dia menjadi penghibur.

"Lagipun ia perkara positif untuk hiburkan peminat. Perkara yang buat orang gembira. Dalam masa sama, dia boleh belajar muzik dan penciptaan lagu.

"Jadi, pada umur dia sekarang, ini satu galakan bagus. Semoga lagu Pewangi menjadi permulaan baik dalam kerjayanya," katanya.

Selain single, muzik video lagu itu juga boleh ditonton di saluran YouTube FMC Music.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 6:43 AM