Dari kiri, Tajul, Zack, Afieq dan Haqiem.
Dari kiri, Tajul, Zack, Afieq dan Haqiem.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Lagu Mengusung Rindu versi rakaman semula nyanyian Haqiem Rusli, Tajul, Afieq Shazwan dan Zack Zakwan terus mendominasi carta trending YouTube sejak dilancarkan pada 28 Julai lalu.

Lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Allahyarham Achik dan kumpulan Spin itu sudah mencecah lebih 1.3 juta tontonan di laman YouTube FMC Music.

Menurut Haqiem, itu adalah pertama kali dia terbabit dalam projek khas merakamkan semula lagu lama selain teruja dengan hasil dan sambutan diberikan.

"Saya suka mencuba sesuatu yang baru. Eksperimentasi yang dilakukan dalam lagu ini membuatkan saya sangat teruja. Tambahan pula apabila membabitkan gabungan empat vokal penyanyi lelaki yang masing-masing mempunyai karakter suara yang berbeza," katanya.

Bagi Afieq Syazwan pula, Mengusung Rindu adalah lagu ketiga yang dirakamkan semula. 

"Saya rasa ini seperti projek mega. Apabila muzik lagu ini dipersembahkan dengan iringan orkestra dan disampaikan di dalam gabungan empat vokal, ia sesuatu yang bukan biasa-biasa.

"Sebelum ini saya sampaikan lagu Layu Di Hujung Mekar dan Malam Semakin Dingin berduet dengan Tajul sahaja, tetapi Kali ini membabitkan gabungan yang luar biasa. Pastinya saya rasa teruja bila dapat tahu Haqiem mahu terbabit sama dalam lagu ini," katanya.

Sementara Tajul berkata, dia bangga apabila tiga lagi rakannya itu sudi menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh arwah abangnya.

"Saya rasa bangga apabila tiga rakan dan penyanyi sudi menyanyikan kembali lagu abang saya.  Saya rasa seolah-olah semangat Achik sentiasa ada bersama kami sewaktu menghasilkan lagu ini. Terima kasih Haqiem, Afieq dan Zack kerana mewarnai Mengusung Rindu ini dengan cara kalian tersendiri," katanya.

Sebagai pendatang baharu, Zack Zakwan orang yang paling teruja.

"Tidak dinafikan saya rasa tidak percaya apabila diberi kepercayaan oleh FMC Music untuk turut bergabung di dalam projek ini. Awalnya saya rasa terlalu kerdil untuk sepentas dengan Haqiem, Afieq dan Tajul. Tetapi selepas proses rakaman dan video muzik siap, saya rasa lebih yakin kerana semangat dan kerjasama serta galakan yang mereka bertiga berikan membuat saya menjadi kuat dan keyakinan saya bertambah," katanya.

Antara lagu lama yang pernah hits suatu ketika dahulu yang dirakamkan kembali menerusi projek FMC Music adalah Malam Semakin Dingin nyanyian asal kumpulan Spin, Gurauan Berkasih (Achik dan Siti Nordiana), Tragedi Cinta (Achik dan Siti Nordiana), Izinkan Selamanya Namamu Dihati (Eye) dan beberapa lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 12:31 PM