REDZA dan Intan, pelakon utama drama Tak Sempurna Mencintaimu.
REDZA dan Intan, pelakon utama drama Tak Sempurna Mencintaimu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya tak berapa minat drama Melayu, tapi drama Tak Sempurna Mencintaimu ini buatkan saya nak terus menonton."

Itu ciapan seorang pengguna akaun di Twitter mengenai drama Tak Sempurna Mencintaimu yang ditayangkan sejak 29 Mac lalu di slot Akasia, TV3.

Malah, drama yang menampilkan lakonan hebat Redza Rosli, Intan Najuwa, Wan Maimunah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan ramai lagi berjaya menjadi sohor kini atau 'trending' di Twitter pada setiap episod.

Berdasarkan ciapan di Twitter dan komen di laman sosial lain, ramai memuji jalan cerita drama arahan Emi Sufian itu yang disifatkan menarik selain penjiwaan watak yang cukup bagus terutama daripada pelakon otai Wan Maimunah dan Ahmad Tarmimi.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, dia berharap penonton akan terus sertia menonton drama itu sehingga ke espisod terakir.

"Alhamdulillah dan syukur atas sokongan diterima. Sebenarnya, menerbitkan drama bagi tayangan slot Akasia ini ibarat satu perjudian. Debaran dirasai setiap kali drama nak keluar di slot ini. Sebabnya, kita tak tahu apa penerimaan penonton.

"Diakui kejayaan beberapa drama sebelum ini memberi motivasi kepada kami untuk menghasilkan karya ini dengan terbaik. Apatah lagi drama ini turut menampilkan beberapa pelakon baharu selain dibantu oleh pelakon lain yang cukup berpengalaman.

"Apa yang pasti, drama ini bukan sahaja memberikan hiburan tapi banyak mesej yang disampaikan. Saya harap semua dapat terus menyaksikan drama ini sehingga ke episod akhir," katanya.

Drama yang diadaptasi dari novel yang menggunakan judul sama adalah hasil garapan skrip Eja Lorena, Marr Mohamad dan Lynnda Sharuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 9:41 AM