PROGRAM menarik TV Alhijrah sempena Aidiladha.
PROGRAM menarik TV Alhijrah sempena Aidiladha.
Sudirman Mohd Tahir


MUSIBAH yang sedang melanda ini banyak memberi kesan dalam hidup kita termasuk dari segi emosi.

Ada yang takut, risau, gelisah, buntu, semuanya hadir di kala keadaan makin menekan.

Namun ingatlah, ujian mendekatkan kita pada Allah SWT. Ujian mengangkat martabat kita di sisi Allah. Semuanya harus sabar.

Justeru, bersempena sambutan Aidiladha tahun ini, TV AlHijrah membawakan lapan program istimewa yang sudah bermula sejak 1 Julai lalu hingga 23 Julai ini.

Bertemakan Pengorbanan Kasih Abadi, program yang wajib ditonton seperti Labbayk Allahumma Labbayk, Journey of Hajj, The Day of Hajj, Labbaikallah, Gema Haflah, Drama Bujang Haji, filem Tiada Tajuk dan Ustaz Kartun & Robojim.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, program yang disiarkan TV AlHijrah diharapkan mampu membantu masyarakat dalam mengharungi dugaan dalam pandemik Covid-19.

"Tugas kita sebagai media penyiaran dalam membantu masyarakat. Pada waktu sekarang ini perlulah dilaksanakan. Paling tidak, walaupun hanya sampaikan mesej kepada seorang saja dan seorang itu kita mampu bawa kembali untuk mengingati iman, itupun pada saya sudah cukup. Ini sudah menunjukkan kita berusaha membantu masyarakat untuk mendepani situasi semasa.

"Boleh saja kami memperbanyakkan program zikir yang disukai ramai, tetapi kali ini tugas kami fokus terhadap kelompok insan yang memerlukan bantuan emosi. Jadi kami ketepikan genre semasa atau popular, kerana kami perlu ambil masa ini untuk fokus isu depresi serta isu masyarakat semasa," katanya yang turut berharap pihak media dan stesen televisyen lain boleh bersama-sama dalam menenangkan emosi masyarakat.

NAMANZEE
NAMANZEE

Selain daripada program Aidiladha, TV AlHijrah juga memperkenalkan satu lagi inisiatif yang dikenali sebagai Inisiatif Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) TV AlHijrah.

Inisiatif itu dilancarkan dengan tujuan memeluk emosi, memberi ketenangan jiwa serta membantu rakyat Malaysia mengharungi saat-saat sukar sepanjang pandemik Covid-19.

Antara program yang disediakan bawah inisiatif ini adalah La Tahzan yang mana dikendalikan dua pengacara terkenal iaitu Faizal Ismail atau FBI dan Abby Fana.

La Tahzan yang bersiaran sejak 6 Julai lalu mengupas mengenai permasalahan yang rakyat hadapi sepanjang pandemik Covid-19.

"Kami menampilkan pasangan hos FBI dan Abby Fana pada program ini. Program ini adalah platform untuk penonton atau masyarakat mengurangkan tekanan perasan dengan berkongsi apa jua kisah dan pengalaman getir ketika dilanda ujian akibat pandemik Covid-19.

FILEM Tiada Tajuk.
FILEM Tiada Tajuk.

"Luahkan, agar dapat sama-sama kita kongsikan rasa itu dan dapat meringankan beban perasaan anda. Anda di rumah boleh menonton di kaca TV, boleh bersama kami dan hos di studio menerusi aplikasi Google Meet dan mereka yang ingin berkongsi perasaan dijemput untuk menggunakan aplikasi ini. Pautan Google Meet akan dipaparkan di Facebook dan Instagram TV AlHijrah 30 minit sebelum program bermula," katanya.

Selain itu, program menarik lain adalah Saranghae, Kapsul Wabak, Soul Fitness, Tangan Seni dan Ngaji On The Go.

Sementara itu, FBI berkata, dia tak pernah terfikir akan muncul dalam sebuah televisyen yang berkonsepkan agama. Baginya, itu adalah ketentuan Allah.

"Selepas saya diuji dalam kehidupan, saya perlukan penghijrahan. Penghijrahan itu bukanlah bermaksud dari pengacara hiburan kepada konsep sekarang.

"Saya tak pernah minta untuk ke TV AlHijrah, tapi saya minta dengan Allah supaya tentukan perjalanan hidup saya lebih baik selepas ini," katanya yang lebih selesa mengacarakan program berkaitan agama dan tanggungjawab sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 6:20 AM