Pengarah Filem, Mamat Khalid. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Pengarah Filem, Mamat Khalid. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir


PENGARAH terkenal, Mamat Khalid menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan syarikat produksi miliknya, Enjit-Enjit Semut menjalani penggambaran filem terbaharu, Lockdown ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Mamat berkata, filem arahan anaknya, Amin Khalid itu menjalani penggambaran pada hujung Februari lalu sebelum dihentikan ekoran pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

"Dakwaan itu tak betul. Ia hanya salah faham. Penggambaran dijalankan sebelum PKP dilaksanakan. Ketika itu sudah 80 peratus dibuat, tapi disebabkan PKP kita terpaksa akur untuk hentikan penggambaran.

"Sekarang berbaki 20 peratus lagi penggambaran. Insya-Allah akan disambung selepas PKPB berakhir sejajar dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan penggambaran dibuat dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Lagipun, lokasi penggambaran hanya membabitkan Tanjung Malim di Perak. Jadi, tidak ada masalah. Pelakon terbabit pun sudah dimaklumkan perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pada mulanya judul filem itu ialah Benda Asing. Bagaimanapun, memandangkan jalan cerita sesuai dengan situasi dialami hari ini, jadi judulnya ditukar kepada Lockdown.

Mamat yang juga pengarah filem Hantu Kak Limah berkata, filem yang itu banyak menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

"Bagusnya PKP dilaksanakan adalah pasukan dapat memberi fokus pada teknik CGI dulu. Apatah lagi filem ini banyak menggunakan CGI.

"Jadi, mereka siapkan apa yang patut. Apabila penggambaran diteruskan, proses suntingan tidak ambil masa lama. Kalau siap cepat, maka lebih awal filem ini dapat ditayangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:00 PM