Mamat sedang siapkan skrip. FOTO HM
Mamat sedang siapkan skrip. FOTO HM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengarah Mamat Khalid memaklumkan dia mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menerbitkan filem sejarah Pasir Salak.

Menurut Mamat, 53, filem itu adalah karya baru dan tiada kaitan dengan filem judul sama yang pernah dirancang pembikinannya oleh Tan Sri Jin Shamsuddin.

"Filem ini naskhah baru daripada saya. Tidak ada kena mengena atau kesinambungan daripada projek asal Tan Sri Jins Shamsuddin. Buat masa sekarang, saya dan pihak FINAS dalam proses menyiapkan skrip.

"Saya yang mengusulkan mengarah dan menerbitkan filem ini kerana banyak kisah di sebalik sejarah Pasir Salak yang perlu diceritakan. Pendek kata filem ini bakal merungkai segala persoalan yang banyak pihak tidak tahu," katanya kepada Harian Metro.

Mamat yang juga pengarah filem Rock Bro! menjelaskan filem itu adalah projek kerjasama antara FINAS dan kerajaan negeri Perak.

Memandangkan ia sebuah filem epik, Mamat berkata anggaran kos pembikinan filem itu mencecah RM5 juta.

"Kalau nak tahu saya sudah memulakan kajian filem ini sejak 1998. Dalam filem ini nanti, saya bakal membina set baru di tepi Sungai Perak. Insya-Allah jika tiada aral melintang, penggambaran bermula pertengahan tahun hadapan.

"Buat masa sekarang, kos pembikinan dianggarkan RM5 juta. Saya tak nak bajet yang terlalu besar seperti kebanyakan filem sejarah lain," katanya.

Mamat berkata, satu perkara yang menjadi kebimbangannya adalah kostum dan bahagian seni.

Antara barisan pelakon yang dicadangkan bakal terbabit dalam filem ini ialah Khir Rahman, Datuk M Nasir, Soffi Jikan, Eman Manan, Namron, Datuk Rahim Razali, Bront Palarae dan Hasnol Rahmat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 5:27 PM