Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh enam hari tayangannya di saluran Astro First.

Karya sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid dan disempurnakan anaknya yang juga pengarah, Amen Khalid yang memulakan tayangan sejak 3 Mac lalu menerima reaksi positif penonton.

Amen berkata, dia cukup teruja apabila sokongan terhadap karya Allahyarham bapanya berterusan.

"Syukur alhamdulillah filem itu mendapat respon baik daripada penonton. Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada peminat setia karya arwah papa, peminat Kampong Pisang serta semua penonton yang sudah menonton.

"Saya anggap kejayaan ini adalah sokongan untuk meneruskan legasi ini. Insya-Allah, Kampong Pisang Universe tidak akan berhenti dan akan ada buat peminat dan penggemar filem tempatan," katanya.

Selain pujian terhadap filem itu secara keseluruhan, ramai turut memuji corak pengarahan Amen.

Filem komedi seram terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut Sdn Bhd itu membariskan pelakon Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Mat London, Datin Paduka Eina Azman dan Azman Mantra.

Turut berlakon ialah Dewa Sapri, Ahmad Yassin, Rasydan Zakaria, Nizam Mok Ram, Joey Daud, Yeop Hitler, Rashid Othman dan Anis Nisham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 4:39 PM